Pelawak, Achey meluahkan rasa syukur selepas anaknya Tiara berjaya meraih keputusan cemerlang dalam keputusan penilaian akhir tahun peringkat prasekolah, walaupun Tiara mengalami masalah pembelajaran.
Achey atau Mohd Nasir Hamzah, 39, memaklumkan Tiara mendapat 6A untuk subjek Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Jawi dan Pendidikan Islam.
Bagaimanapun bagi subjek Bahasa Melayu, Tiara yang berusia tujuh tahun memperoleh gred D.
“Alhamdulillah saya sangat berterima kasih kepada pihak sekolah dan kredit sepenuhnya kepada guru-guru yang mengajar Tiara.
“Untuk peperiksaan akhir tahun dia mendapat markah yang sangat cemerlang dan menunjukkan perubahan ketara berbanding sebelum ini,” katanya memetik mStar semalam.
Dalam pada itu, Achey berkata besar harapannya agar Tiara mengekalkan rentak cemerlang apabila memasuki alam persekolahan tidak lama lagi.
Menurut pelawak itu, dia pada awalnya pelik juga mengapa Tiara tidak dapat menguasai Bahasa Melayu, tetapi dia tetap bersyukur kerana perkembangan Tiara sememangnya agak perlahan.
“Tapi saya tetap bersyukur sebab Tiara memang agak perlahan dalam pembelajaran dan Alhamdulillah sekarang dia menunjukkan perubahan ketara.
“Harap-harapnya Tiara dapat teruskan prestasi cemerlang dalam pelajaran apabila melangkah masuk ke darjah satu nanti,” ujarnya.
Pada Ogos 2023, Achey mendedahkan Tiara mengalami masalah pembelajaran dan disebabkan itu dia mengasah kemahirannya dalam bidang perniagaan.
Baca juga: Menuju masyarakat tanpa tunai, penjual pisang goreng tepi jalan juga dah guna kod QR