Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata walaupun mencatat keputusan seri dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), beliau berbangga dengan persembahan dipamerkan anak buah Aidil Sharin Sahak.
“Tahniah saya ucapkan kepada pasukan Kedah walaupun seri malam tadi, saya hadir (ke Stadium Darul Aman), memang jangka (Kedah) balun JDT, ternyata JDT bukan lawan calang-calang dan kita mengakui kehebatan mereka.
“Kedah walaupun negeri miskin bertanding dengan pasukan kaya, tetapi pasukan kaya tidak menang. Walaupun miskin tetapi semangat juang kita tinggi,” katanya.
Menteri Besar Kedah itu berkata demikian pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.