Wanita angkut Axia naik perahu bawa balik kampung di Mulu, Sarawak

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita mencuri tumpuan ramai selepas memuat naik rakaman Perodua Axia miliknya yang dibawa “belayar” menaiki bot perahu untuk dihantar ke kampung halamannya di Mulu, Sarawak.

Wanita itu difahamkan bekerja di Kuching dan mahu menghantar kenderaan itu untuk kegunaan orang tuanya di kampung.

Namun katanya, tiada jalan darat yang selamat untuk digunakan, membuatkannya terpaksa menggunakan alternatif bot perahu untuk mengangkut kereta itu.

Perkongsian video di TikTok @a.reraofficial atau Ferrera Paris, membuatkan ramai kagum kerana pertama kali melihat kereta diangkut menggunakan perahu.

Kereta itu diangkat menggunakan lori tunda sebelum diletakkan di bahagian hadapan perahu tersebut.

Menurut Ferrera, perjalanan dari jeti Marudi di Baram, Sarawak ke kampungnya mengambil masa selama enam jam menggunakan laluan sungai.

“Perjalanan membawa kereta balik ke kampung mengambil masa lebih kurang enam jam dari jeti Marudi ke Mulu Sarawak.

“Untuk menjawab segala persoalan, di Mulu tiada stesen minyak, bengkel pun bengkel sendiri.

“Axia ini telah berkhidmat selama 7 tahun bersama saya di kuching, habis bayar sudah. Hehe. Sekarang berkhidmat untuk orang tua saya pula di Kampung,” katanya di TikTok.

Ferrera berkata, perkhidmatan bot perahu tersebut merupakan perniagaan yang diusahakan oleh keluarganya termasuk mengangkut barangan berat seperti kenderaan.

Perahu berkenaan boleh membawa muatan mencecah enam hingga lapan tan.

Memetik Sinar Harian, gadis berusia 31 tahun itu memaklumkan bahawa kadar harga mengangkut kereta sampai ke Mulu bermula dari RM5,000 hingga RM9,000 bergantung jenis dan saiz kereta.

“Ini bukan kali pertama. Sebelum ini ayah saya pernah membawa lori dan kenderaan pacuan empat roda menggunakan bot.

“Lori pula kos pengangkutan boleh mencecah sehingga RM15,000 hingga RM20,000 bergantung dengan risiko dan paras air sungai,” ujarnya.

Baca juga: Erra dah berani ‘tayang’ kekasih hati