Wanita jual gelang emas dibeli 7 tahun lalu, untung lebih dua kali ganda! – “Nilai naik dekat 150%!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang wanita memperoleh keuntungan melebihi dua kali ganda selepas menjual seutas gelang emas yang dibelinya pada tujuh tahun lalu berikutan nilai perhiasan tersebut melonjak naik.

Menerusi satu perkongsian di platform TikTok, wanita itu membeli seutas gelang emas jenis ‘Dunhill’ seberat 35.25 gram (g) daripada sebuah kedai perhiasan yang terletak di Kota Bharu, Kelantan.

Gelang itu dibeli pada tujuh tahun lalu atau lebih tepatnya pada 12 Ogos 2018 dengan harga RM5,569 berikutan nilai emas semasa ketika itu hanyalah berjumlah RM158 untuk satu gram.

Wanita itu kemudian membuat keputusan untuk menjual semula gelang perhiasan tersebut di premis yang sama setelah tujuh tahun berlalu kerana mahu menggunakan wang bagi tujuan membaik pulih kediamannya.

Rupa-rupanya, nilai gelang yang dimiliki oleh wanita itu sudah melonjak naik mencecah 150 peratus sekali gus mengembalikan keuntungan lebih dua kali ganda selepas perhiasan tersebut dijual.

Perkara itu diceritakan semula menerusi satu hantaran di akaun TikTok milik premis perhiasan yang menjual gelang emas tersebut sebagai kesedaran kepada orang ramai mengenai kuasa pelaburan logam bernilai berkenaan.

“Seorang kakak ini datang ke premis kami nak jual gelang emas untuk menyiapkan rumah. Pelanggan ini beli pada tahun 2018 dekat premis kami juga. Siap bawa resit yang beli dahulu. Harga emas masa itu RM158 per gram.

“Berat gelangnya adalah 32.25g. Jadi jumlah yang dibayar oleh pelanggan masa itu adalah RM5,569. Tetapi hari ini selepas 7 tahun, harga emas sudah naik ke RM394 per gram. Apabila jual semula, dia dapat RM13,888!

“Bayangkan dalam masa tujuh tahun, nilai gelang dia naik hampir 150%. Tak perlu buat apa pun, cuma simpan emas elok-elok. Inilah kuasa pelaburan emas. Senyap-senyap tapi hasilnya besar,” kongsinya.

Menurut pemilik akaun, orang ramai boleh mula untuk membeli emas perhiasan sebagai hadiah buat diri sendiri kerana menjanjikan pulangan lumayan selain menjadi penyelamat kepada masalah kewangan peribadi pembeli.

Berikut antara komen yang ditinggalkan oleh pengguna TikTok dalam perkongsian tersebut.

Baca juga: 10 universiti ini bukan calang-calang, bos Oil & Gas paling suka