Baru-baru ini seorang isteri tampil membuat perkongsian di sosial media mengenai sikap suaminya yang dikatakan ‘kedekut’ dalam perbelanjaan rumah tangga namun rela menghabiskan duit demi keretanya.
Difahamkan, wanita yang berusia 27 tahun itu baru sahaja menyedari sikap berkira suaminya selepas memutuskan untuk berhenti bekerja susulan mendirikan rumah tangga atas permintaan lelaki terbabit.
Pasangan itu juga memiliki pendirian yang agak berbeza berhubung kediaman mereka di mana sang isteri lebih mementingkan keselesaan dan juga kecantikan rumah manakala suaminya lebih gemar melancong.
“Aku menikah dengan seorang lelaki yang kini berusia 29 tahun. Selepas berkahwin, dia suruh aku berhenti bekerja. Memang aku berhenti sebab letih kerja sambil jaga anak dan uruskan rumah. Masalah datang selepas berhenti.
“Memanglah semua perbelanjaan, suami yang tanggung. Tetapi dia sangat berkira kalau nak berikan duit. Kedekut gila kalau bab barangan rumah dan perbelanjaan anak. Kalau ada duit lebih. Dia mesti guna untuk ‘buat’ kereta.
“Bayangkan, kereta ada empat buah. Tiga darinya kereta continental (kenderaan keluaran Eropah). Tetapi kediaman kami biasa sahaja. Syiling plaster pun tiada,” kata wanita itu dalam perkongsian tersebut.
Perkongsian itu dibuat oleh sang isteri menerusi hantaran yang dimuat naik di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter) tanpa mendedahkan identiti sebenar dirinya dan pasangan.
Lebih memburukkan keadaan, tugas sebagai suri rumah tangga turut membebankan wanita itu kerana suaminya langsung tidak membantu malah kerap meninggalkan tandas dalam keadaan tidak dipam.
“Orang tengok kehidupan aku ini nampak mewah sebab berkali-kali pergi bercuti dalam setahun. Tetapi mereka tak tahu keadaan rumah macam mana. Suami cakap dia sudah bawa jalan, jadi tak perlu keluar duit untuk rumah.
“Aku sudah rasa letih sangat buat kerja rumah. Dia buat apa pun, tak reti. Pam tandas pun aku yang kena buat.” Kesal wanita itu mengharapkan suaminya menyumbang wang dalam menyediakan keperluan rumah.
Baca juga: Bekas pengarah kantoi guna wang syarikat bagi bonus RM200k untuk diri sendiri