Seorang warga emas bertindak membakar sebuah pusat jagaan di Kaki Bukit, Padang Besar, Perlis yang dihuninya pada Khamis lalu hanya kerana tidak dibenarkan keluar ke Kangar bersama teman wanitanya.
Menurut Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 8.31 pagi melalui bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar menerusi talian MERS 999.
Siasatan awal pihaknya mendapati bahawa salah seorang penghuni pusat jagaan yang menempatkan seramai 20 orang warga emas itu dipercayai memulakan kebakaran tersebut daripada kawasan almari di dapur kediaman berkenaan.
Kebakaran yang kemudian merebak ke kawasan dewan utama pusat jagaan itu dilaporkan telah mengakibatkan kemusnahan sebanyak 50 peratus daripada struktur bangunan, lapor Harian Metro.
“Hasil semakan kamera litar tertutup di pusat jagaan itu mendapati kebakaran dipercayai dimulakan oleh salah seorang penghuni lelaki berusia 81 tahun. Suspek dipercayai memulakan kebakaran itu dari kawasan almari di dapur pusat jagaan itu.
“Hal ini menyebabkan kebakaran merebak menuju ke dewan utama sehingga membakar sebahagian ruang itu. Kebakaran mengakibatkan 50 peratus kawasan dewan musnah,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Siasatan lanjut oleh pihak polis berjaya membongkarkan motif kebakaran yang didapati berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap penjaga pusat jagaan berkenaan ekoran telah melarangnya keluar.
Pelaku kemudian ditahan oleh pihak berkuasa sebelum dibebaskan dengan jaminan polis namun siasatan kes tetap berjalan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksan.
“Suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan penjaga pusat jagaan itu kerana tidak membenarkannya ke Kangar untuk mendapatkan alat bantuan pendengaran bersama teman wanitanya yang juga penghuni pusat berkenaan.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis serta forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis juga sudah dipanggil bagi membantu siasatan. Jumlah kerugian masih disiasat.” Jelasnya.
Baca juga: Ayam potong 14, lepastu jual RM4.50 seketul…netizen dakwa peniaga ayam goreng berempah paling untung