Warga emas berkerusi roda terkejut, duit dalam bank habis licin diambil anak menantu

Oleh MALAYSIADATELINE

Alangkah terkejutnya seorang wanita warga emas apabila mendapati semua wang simpanan yang dikumpulnya di dalam bank selama bertahun-tahun lesap begitu sahaja dipercayai diambil oleh anak menantunya sendiri.

Difahamkan, kejadian akhirnya terbongkar selepas warga emas yang sudah tidak berdaya serta berkerusi roda itu datang ke bank tersebut untuk memeriksa transaksi dan mengambil wang bantuan dengan pertolongan adiknya.

Lebih memburukkan keadaan, wang bantuan yang baru sahaja masuk ke dalam akaun milik warga emas terbabit sekitar sehari sebelum kejadian turut dikeluarkan oleh anaknya tanpa meninggalkan sebarang baki.

Kejadian itu didedahkan oleh salah seorang pelanggan bank yang turut berada di premis tersebut ketika insiden berlaku menerusi hantaran di aplikasi Whatsapp status sebelum dikongsikan semula di platform Threads.

“Kejadian berlaku ketika sedang menunggu giliran untuk buka sekatan kad bank. Kemudian ada seorang mak cik ini datang dengan ditemani adik dia untuk keluarkan duit simpanan. Mak cik ini sudah sangat uzur.

“Sudah pakai kerusi roda. Pihak bank bantu periksakan semua transaksi keluar masuk wang. Semua simpanan bank berpuluh-puluh tahun sudah tidak berbaki. Paling sedih sekali adalah anak dia yang keluarkan.

“Dipercayai anak dia sudah menggunakan duit itu. Ya Allah, kejam sangat. Menangis mak cik itu dengan adik dia selepas dapat tahu,” tulis perkongsian yang diambil daripada status sepupu kepada pemilik akaun Threads itu.

Ketika kejadian berlaku, anak kepada warga emas terbabit tiada di rumah kerana pergi bercuti menyebabkan adik mangsa tampil membantu membawanya pergi ke bank untuk memeriksa baki dan transaksi wang tersebut.

Pemeriksaan lanjut dari pihak bank juga mendapati anak warga emas itu turut melakukan transaski pemindahan wang secara atas talian tanpa pengetahuan mahupun mendapatkan kebenaran daripada ibunya.

“Paling bodoh anak dan menantunya. Ya, Allah. Menangis aku tengok muka mak cik itu terkejut sebab duit sampai licin dikeluarkan. Pihak bank tanya, ada buat pemindahan secara atas talian ke? Mak cik geleng kepala.” Kesalnya.

Baca juga: Diskaun 50 peratus saman tamat 30 Disember, JPJ dedah baki RM4.89 juta masih tertunggak