Satu perkongsian yang dimuat naik oleh seorang pencipta kandungan asal Rusia di aplikasi TikTok telah berjaya mencuri perhatian pengguna media sosial tempatan, baru-baru ini.
Mana tidaknya, dua wanita Rusia yang tampil dalam perkongsian video tersebut turut menimbulkan persoalan mencuit hati di sebalik kata-kata pujian mengenai kelazatan burger tempatan itu.
Rakaman berdurasi satu saat itu dimulakan dengan sedikit penerangan dari pencipta kandungan dikenali sebagai Anna kepada rakannya mengenai maksud burger jenis ‘special’ di Malaysia.
Anna dan rakannya yang juga warga Rusia itu dirakamkan sedang berada di sebuah gerai burger tepi jalan untuk mendapatkan makanan segera jenama tempatan berkenaan.
“Awak tahu tak di Malaysia, burger yang dihidangkan bersama telur dipanggil sebagai special,” kongsi Anna kepada rakannya sebelum membawa pulang pesanan yang disangka Burger Ramly itu.
Mereka kemudian membuka bungkusan dua biji burger yang dibeli sebentar tadi dan memberikan pendapat mengenai hidangan tersebut berdasarkan rupa dan aromanya terlebih dahulu.
Sebaik menikmati burger jalanan itu, kedua-dua individu terbabit terus memuji kelazatan hidangan patti daging dibungkus telur yang diapit dengan dua keping roti dan pelbagai sos tersebut.
Berulang kali menyebut perkataan sedap, rakan Anna juga bersetuju bahawa penambahan telur yang menyaluti patti dapat menyedapkan lagi rasa dan aroma burger jalanan tempatan itu.
“Saya tak sangkalah burger seperti ini rasanya enak,” akui rakan Anna selepas mereka berdua mengucapkan ‘sedap’ dalam bahasa Rusia bagi menyatakan betapa nikmatnya hidangan yang mereka santap itu.
Walau bagaimanapun, kedua-dua gadis Rusia berkenaan kemudian menimbulkan persoalan di manakah rasa keju sedangkan produk tenusu berkenaan sudah ditambah malah ia terlihat ketika dimakan.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian gadis Rusia terbabit mengenai burger jalanan tempatan itu telah berjaya mendapat sebanyak 130,200 tontonan daripada para pengguna TikTok.
“Persoalannya sekarang, di manakah keju kami,” kata rakan Anna dengan nada berseloroh selepas pencipta kandungan terbabit yang terlebih dahulu bertanyakan mengenai rasa keju itu.
Baca juga: Anak saman ibu bapa sendiri sebab lahirkan dirinya tanpa bertanya dahulu