Warga Singapura rasa gaji mereka lebih baik dari rakyat Malaysia, hakikatnya sesak di negara sendiri

Oleh KIM SYAZIE

Seorang ahli perniagaan Singapura berkata, warga Singapura tidak dapat mengelak dari hakikat kos sara hidup di republik itu amat tinggi biarpun pendapatan mereka lebih besar daripada rakyat Malaysia

Kata Tan Kin Lian, biarpun warga Singapura merasakan pendapatan mereka lebih baik berbanding rakyat Malaysia, namun mereka perlu berbelanja lebih banyak lagi untuk mendapatkan keperluan asas di negara sendiri.

“Ramai rakyat Singapura berpendapat bahawa mereka lebih baik daripada rakyat Malaysia kerana mereka berpendapatan 3,000 SGD manakala rakyat Malaysia memperoleh RM3,000 dan SGD lebih 3 kali ganda lebih tinggi daripada RM.

“Mereka terlepas pandang satu perkara penting. Kos perumahan dan kereta persendirian di Singapura adalah tinggi. Pendapatan boleh guna untuk makanan mungkin hanya 20% atau katakan 600 SGD,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Beliau membandingkan kos perumahan dan kereta persendirian di Malaysia yang jauh lebih rendah berbanding Singapura.

Dengan makna lain, rakyat Malaysia mempunyai pendapatan boleh guna yang lebih tinggi untuk perbelanjaan makanan.

Beliau membuat anggaran peratusan pendapatan boleh guna boleh mencecah sehingga 40%.

“Faktor lain ialah makanan yang sama berharga RM12 tidak akan berharga $3.50 di Singapura tetapi mungkin berharga $8.

“Selepas membenarkan pendapatan boleh guna yang lebih rendah, warga Singapura itu berkemungkinan bergelut dengan kos makanan, sama seperti rakyat Malaysia terpaksa bergelut dengan kos yang lebih tinggi.

“Ini pemerhatian saya.  Saya mungkin salah,” ujarnya lagi.

Tan Kin Lian seorang tokoh perniagaan dan aktivis sosial dari Singapura, terkenal sebagai bekas Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income, sebuah koperasi insurans yang beliau pimpin selama 30 tahun dari 1977 hingga 2007.

Baca juga: Video tular murid hisap vape rupanya dirakam di surau, pihak sekolah akan ambil tindakan