Warganet tuntut Abu Zahar lepas jawatan

Oleh ARIF ATAN

Kemunculan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang hari ini membacakan kenyataan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat hanya mengundang kecaman orang ramai.

Rata-rata warganet mempersoal kenyataannya minggu lepas berhubung isu pemilikan saham bernilai kira-kira RM700,000 pada 2015 dan kepentingan dalam syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Pengguna Facebook Abdul Malek Alias menegaskan jika Abu Zahar bermaruah serta masih mempunyai integriti dan akauntabiliti, lebih baik dia melepaskan jawatan sebagai Pengerusi LPPR.

Sementara itu, Norman Lantayan menulis, “Bagus-bagus. Dari seorang saja bermasalah dalam SPRM, sekarang tambah seorang lagi” manakala Mahadi Ab-Razak berkata, “Abu Zahar, please step down“.

Dalam kenyataan hari ini, Abu Zahar antara lain dilihat menyalahkan media berhubung kontroversi berlanjutan yang timbul daripada sidang medianya pada 5 Januari lalu.

Dia mendakwa sesetengah media tidak melaporkan berita secara menyeluruh sehingga mengundang kepada salah tanggapan dalam kalangan masyarakat.

Abu Zahar Ujang

Dalam masa sama, Abu Zahar akan menyerahkan kepada budi bicara kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukannya sebagai Pengerusi LPPR.

“Seperti yang telah dinyatakan dalam kenyataan media bertulis 5 Januari itu, siasatan berkaitan alegasi salah laku terhadap Azam Baki masih terbuka untuk diteruskan oleh mana-mana agensi yang mempunyai kuasa di atas pendapat dan seliaan daripada Pejabat Peguam Negara.

“… saya mahupun mana-mana rakan anggota saya yang lain dalam LPPR, saya percaya, tidak langsung berhasrat untuk menghalang siasatan lanjut itu, jika ada, malah adalah digalakkan atas konsep kedaulatan undang- undang, supaya nama baik dan integriti SPRM akan sentiasa berada di tahap tertinggi menurut lunas undang-undang.

“Sekiranya kenyataan media 5 Januari lalu saya telah menampilkan fahaman yang tidak dihasratkan seperti yang dinyatakan di atas, sehingga ke tahap ia menjatuhkan nama baik SPRM secara keseluruhannya, yang mana sememangnya tidak dihasratkan, saya serahkan kepada budi bicara mutlak kerajaan dan Ke Bawah Duli Yang Mulia, Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukan saya sebagai Pengerusi LPPR, yang mana adalah satu amanah yang telah saya laksanakan setakat ini, tanpa mengambil pihak.

“Saya semestinya akan akur dengan keputusan itu,” katanya membacakan kenyataan dalam kenyataan hari ini.

Azam Baki

Kontroversi dakwaan Azam memiliki sejumlah saham semakin hangat apabila kenyataan Abu Zahar pada 5 Januari lalu disifatkan oleh enam ahli LPPR sebagai pendapat peribadi Abu Zahar.

Kesemua enam ahli LPPR itu ialah Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Ekoran tindakan Abu Zahar mengaitkan media, rata-rata warganet menempelak sikap bekas Ahli Parlimen BN Kuala Pilah itu.

“Lain kali berhati-hati bila buat kenyataan dengan media. Media tak salah tapi kau yang salah membuat kenyataan tanpa merujuk kepada jawatankuasa LPPR.

“Semuanya dibuat atas kapasiti sendiri dan menjurus kepada melindungi seseorang. Lebih baik letak jawatan sajalah, anda tidak layak berada di situ,” selar Zidane Ahmad.