Wow! Lebih RM50 juta wang Sara ditebus pada hari pertama

Oleh MAISARAH AISYA

Lebih RM50 juta wang Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) telah ditebus pada hari pertama pelaksanaan pengeluaran one-off, sekali gus mencerminkan sambutan luar biasa daripada rakyat.

Langkah ini dilihat sebagai peluang meringankan beban kewangan rakyat yang berdepan kos sara hidup tinggi.

Hari pertama pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 31 Ogos 2025 mencatatkan sambutan luar biasa apabila sekitar 850,000 rakyat Malaysia telah berbelanja lebih RM50 juta hanya pada hari pertama sahaja sehingga jam 9.30 malam.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah itu menunjukkan penerimaan yang sangat tinggi daripada lebih 22 juta rakyat Malaysia dewasa yang layak menerima bantuan berkenaan.

Bagaimanapun, sambutan menggalakkan itu turut menyebabkan sistem pembayaran yang dikendalikan melalui rangkaian MyKasih mengalami kesesakan.

“Sambutan tinggi daripada penerima Penghargaan SARA hari ini telah menyebabkan sistem mengalami transaksi mendadak.

“Susulan daripada itu, sistem terminal pembayaran yang dikendalikan melalui rangkaian MyKasih telah mengalami penurunan prestasi yang ketara di beberapa lokasi,” jelas kenyatan media dilkeluarkan Kementerian Kewangan.

Walaupun berlaku kelembapan, pihak kementerian menegaskan semua transaksi masih diterima dan diproses.

“Walaupun sistem telah beroperasi dengan lebih perlahan, transaksi masih diterima dan diproses.

“Kementerian Kewangan (MoF) dan MyKasih telah mengambil langkah untuk meningkatkan kapasiti sistem supaya pada 1 September 2025, rakyat dapat terus membuat pembelian melalui SARA dengan lancar tanpa gangguan.

“Bagi memastikan sistem kembali stabil dan bersedia untuk rakyat meneruskan perbelanjaan melalui SARA pada 1 September 2025, pihak MyKasih akan melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem pada malam ini (semalam),” jelasnya.

Dalam masa sama, MoF turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna.

“Pihak Kementerian memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami para pengguna dan akan terus memantau pelaksanaan inisiatif ini agar berjalan lancar.

“Bilangan transaksi pada hari ini adalah jauh lebih tinggi daripada pengalaman sebelum ini. Sehingga 30 Ogos 2025, pelaksanaan bulanan SARA telah dapat mengendalikan purata transaksi harian sekitar 600,000 transaksi sehari.

“Kementerian juga ingin mengingatkan bahawa kredit RM100 one-off Penghargaan SARA ini kekal sah sehingga 31 Disember 2025, dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara,” jelas kenyataan tersebut.

Baca juga: Pernah kecoh kononnya tanggal 31 Ogos bukan hari kemerdekaan Malaysia, apa cerita sebenarnya?