Yana beritahu Najib masuk hospital sebab sakit perut, ‘Daddy sangat mudah kena ulser perut’

Oleh KIM SYAZIE

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang dilaporkan telah dikejarkan ke hospital akibat masalah kesihatan.

Pegawai beliau mengesahkan berita itu dan memaklumkan bahawa Najib berada dalam keadaan stabil dan sedang melalui kesemua siasatan perubatan yang diperlukan.

Terkini, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa memaklumkan bahawa bapanya dimasukkan ke hospital kerana mengalami sakit perut.

Nooryana menerusi kemaskini di Instastory berkata, bapanya itu sememangnya sering mengalami masalah perut yang berulang.

Beliau juga dikatakan sangat mudah untuk mendapat ulser perut yang boleh berlaku disebabkan tekanan atau gastrik.

“Kali terakhir daddy ulsernya berdarah pada tahun lepas. Dia tidak sedar mengenai keadaannya itu sehingga dia pengsan akibat pendarahan dalaman dan terpaksa dimasukkan ke hospital tanpa diketahui orang ramai selama seminggu.

“Pada 2010, dia juga dimasukkan ke hospital selama tiga hari kerana mengalami pendarahan ulser perut,” katanya.

Tambahnya lagi, Najib bukan seorang yang suka mengadu jika rasa kurang sihat kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

Bagaimanapun dia dan keluarganya berharap bapanya dapat menerima rawatan dan pemeriksaan yang konsisten.

“Kami sangat berharap daddy mendapat pemeriksaan konsisten dan rawatan, jika diperlukan, oleh pihak penjara dan hospital.

“Tolong jaga daddy dan bossku kami, dia amat bermakna untuk kami. Semoga Allah merahmati kami semua,” kata Yana lagi.

Hantaran Insta story Nooryana

Baca juga: “Wallahi tak terfikir nak buat benda keji”, bapa buat laporan polis siap bersumpah tak buat benda terkutuk

Baca juga: Penjara bukan jalan penyelesaian, peguam kongsi ada pesalah dilepas tapi kena buat khidmat masyarakat