Bekas peragawati dan pelakon terkenal, Zahnita Wilson tampil membalas kenyataan dikeluarkan suaminya iaitu Abd Zackery yang mendakwa dirinya adalah mangsa keganasan sebenar di dalam rumah tangga mereka.
Menurut Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, keengganannya untuk menarik semula laporan kes terhadap suaminya menjadi punca dakwaan sedemikian dilemparkan kepadanya.
Oleh yang demikian, lelaki terbabit kini dikatakan sedang berusaha memposisikan dirinya sebagai mangsa keadaan dalam kes tersebut sekaligus menjalankan kempen konon untuk menunjukkannya tidak bersalah, lapor Gempak.
“Perkara ini berlaku disebabkan saya tidak menarik balik kes mahkamah terhadap dia. Sebenarnya semalam, telah berlangsungnya prosiding kes mahkamah.
“Di hadapan hakim, dia memberitahu saya antara salah satu syarat untuk dia lafazkan cerai terhadap saya adalah untuk saya tarik balik laporan kes.
“Apa yang dia cuba lakukan sekarang adalah salah satu kempen untuk menunjukkan bahawa dirinya tidak bersalah,” jelas Zahnita memetik laporan Gempak.
Dalam pada itu, bekas peragawati yang berusia 39 tahun terbabit turut mengakui bahawa dirinya sememangnya merasa terkejut apabila suaminya membuat kenyataan sedemikian kepada pihak media.
Namun pelakon yang mula meraih populariti menerusi filem romantik komedi, Kuliah Cinta itu menegaskan bahawa dirinya tetap berjuang untuk menegakkan hak dan tidak akan menarik semula laporan kes.
“Maaf, saya tidak mahu ulas apa-apa tentang kenyataan tersebut. Tetapi saya tak sangka sebenarnya dia boleh berkata sedemikian. Nak ke orang tahu tentang hal ini?
“Kalau dia nak buat macam ini okay, saya akan teruskan dengan kes ini.” Kata Zahnita ketika dihubungi oleh pihak Gempak.
Terdahulu, Zahnita mengejutkan ramai pihak apabila memuat naik gambar memaparkan matanya yang lebam didakwa akibat dipukul oleh suaminya menerusi satu hantaran di platform Instagram.
Wanita itu mendakwa sepanjang 20 tahun perkahwinan dengan Abd Zackery Ghouse Abd. Ghani, kehidupannya sudah umpama hamba hingga tertanya-tanya mengapa dirinya diperlakukan sedemikian oleh suami sendiri.
Susulan pendedahan itu, Abd Zackery Ghouse ditahan sebelum didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan pada 5 Disember lalu di atas dua tuduhan iaitu mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan menggunakan dadah berbahaya iaitu 11-Nor-Delta-9-Tetrahydrocannabinol-9-Carboxylic Acid.
Abd Zackery bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan melakukan kecederaan terhadap isteri manakala bagi tuduhan menggunakan dadah pula, tiada pengakuan direkodkan sebelum lelaki itu dibenarkan untuk diikat jamin.
Namun pada petang Selasa (semalam), Abd Zackery tiba-tiba membuat pengakuan yang mengejutkan dalam satu sesi sidang media tergempar bahawa dia adalah mangsa keganasan sebenar dalam rumah tangga dan menafikan tuduhan memukul Zahnita.
Sebaliknya lelaki itu mendakwa perbuatan sedemikian hanyalah satu tindakan untuk mempertahankan dirinya daripada perlakuan Zahnita yang pernah belajar Muay Thai selain mendakwa wanita berkenaan sering meminta cerai sepanjang 20 tahun perkahwinan mereka.
Baca juga: Hina Agong di media sosial, peniaga gerai didenda RM3,000