Bekas peragawati dan pelakon terkenal, Zahnita Wilson berjaya mencuri perhatian ramai selepas memuat naik perkongsian mengejutkan di akaun Instagram miliknya, baru-baru ini.
Mana tidaknya, Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson itu tiba-tiba berkongsi gambar mamaparkan bahagian atas wajah yang turut memperlihatkan kesan lebam di matanya.
Tanpa memberikan penjelasan lanjut, Zahnita mengakui kecederaan dialaminya itu menjadi punca dirinya harus meninggalkan rumah lama malah kadang-kala terpaksa memakai cermin mata hitam.
Bekas peragawati yang berusia 39 tahun itu juga seboleh-bolehnya enggan mendedahkan kecederaan dialaminya namun terpaksa berbuat sedemikian dengan alasan yang tidak diperincikan.
“Saya tidak mahu melakukan ini. Tetapi saya terpaksa. Ini adalah sebab kenapa saya meninggalkan rumah lama. Ini juga menjadi sebab kenapa saya selalu memakai cermin mata hitam,” tulisnya dalam ruangan kapsyen.
Pendedahan dilakukan oleh pelakon yang mula meraih populariti menerusi filem romantik komedi, Kuliah Cinta itu mengundang perbincangan hangat dalam kalangan netizen dan rakan selebriti.
Rata-ratanya berkongsi rasa bimbang sekiranya Zahnita menjadi mangsa keganasan rumah tangga malah ramai juga meluahkan simpati terhadap nasib yang menimpa ibu kepada empat orang cahaya mata itu.
Rakan selebriti iaitu pelakon popular, Che Puan Sarimah turut meninggalkan komen berkongsi kerisauannya dan mengatakan bahawa Zahnita tak sepatutnya diperlakukan seperti itu.
Bagaimanapun setakat ini, Zahnita yang kini aktif menjalankan perniagaan pastri itu belum memberikan penjelasan terperinci mengenai kecederaan dialaminya sehingga orang ramai hanya membuat andaian sendiri.
Baca juga: Hadiahkan kondominium buat anak usia 4 dan 3 tahun, Aeril dan Wawa siap ‘prepare’ untuk masa depan