Selebriti Zizan Razak menuai perhatian ramai selepas menghadiahkan sebuah kereta mewah jenama Mercedes Benz GLC300 buat ibunya tercinta.
Menerusi carian Malaysia Dateline, harga kereta berkenaan boleh mencecah RM 378,888.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak dan abangnya, Hafiza Razak terdahulu membawa ibu mereka ke pusat pameran kereta jenama mewah itu.
Setibanya di pusat pameran kereta berkenaan, mereka berpura-pura hanya meninjau beberapa buah kenderaan yang dipamerkan sementara menunggu waktu berbuka puasa.
“Kami datang ke sini konon-konon bosan sementara menunggu waktu berbuka puasa.
“Sambil itu buat-buat tengok kereta dan berkenalan dengan jurujual.
“Selepas itu, jurujual pura-pura tanya ibu suka ke kereta Mercedes sebelum bawa kami tengok sebuah kereta jenis GLC300,” demikian menurut kapsyen pada video yang dimuat naik abangnya di TikTok.
Jurujual tersebut sempat meminta ibu Zizan untuk membacakan ayat yang terpapar di skrin yang terletak di bahagian kereta tersebut.
Selepas beberapa ketika, ibu Zizan dilihat sebak sebelum menitiskan air mata apabila mengetahui kereta tersebut merupakan miliknya.
Di akhir video tersebut, Hafiza menitipkan ucapan terima kasih buat Zizan sambil menyatakan bahawa dia berbangga dengan pencapaian adiknya itu.
“Ibu masih sebak sebab dapat kereta idaman, hadiah daripada Zizan.
“Alhamdulillah, Along bangga dengan adik sebab banyak tolong kami. We love you, adik,” titipnya.
Video berdurasi 3 minit 11 saat itu tersebut turut meraih perhatian wargamaya yang rata-ratanya sebak melihat Zizan dan abangnya yang melakukan kejutan buat ibu mereka.
Warga maya tersentuh dengan perkongsian berkenaan dan mendoakan pelakon, pelawak dan penyanyi itu murah rezeki.
Tidak kurang yang mendoakan jodoh buat Zizan, malah ada yang berpendapat beliau masih membujang kerana mahu membahagiakan keluarga.
Baca juga: Jangan guna berus besi dekat periuk stainless steel, boleh rosak! Rupanya ini cara betul