Zizan Razak sedekah bayaran jadi tetamu forum di Terengganu kepada pertubuhan kebajikan

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelawak dan pelakon, Zizan Razak menyerahkan bayaran yang diterimanya untuk menjadi tetamu di dalam sebuah forum diadakan di Terengganu baru-baru ini kepada satu pertubuhan kebajikan di negeri berkenaan.

Kesemua bayaran tersebut diserahkan oleh Zizan kepada pendakwah bebas terkenal iaitu Ustaz Azhar Idrus selaku penaung pertubuhan berkenaan dengan harapan dapat membantu mereka yang memerlukan.

Penyerahan wang tunai tersebut dilakukan ketika forum Dialog Anak Muda itu berlangsung bersempena dengan festival ‘Makar Fest 2.0’ yang diadakan pada 1 Mei lalu di Kuala Terengganu.

Menerusi satu rakaman yang dikongsikan di akaun media sosial Youtube milik Ustaz Azhar, dapat dilihat pelawak itu menyerahkan sampul berwarna putih dipercayai berisi wang tunai kepada pendakwah terbabit sebagai wakil.

“Saya buat ini kerana Allah, Ustaz. Inilah bayaran yang saya terima untuk (hadir menjadi tetamu) malam ini. Jadi saya sedekahkan bayaran ini kepada pertubuhan kebajikan Ustaz iaitu Fisabilillah TRG.

“Saya nak minta tolong Ustaz untuk membantu orang-orang yang susah dan memerlukan,” kata Zizan kepada pendakwah mesra disapa sebagai UAI itu dalam rakaman tersebut.

Sedekah tersebut diberikan Zizan secara terbuka di forum itu selepas mendapatkan jawapan daripada soalan yang diutarakannya mengenai hukum melakukan amal soleh di hadapan orang ramai termasuklah memberikan infaq.

Menurut Ustaz Azhar, hukum melakukan kebaikan secara terbuka di hadapan khalayak ramai terbahagi kepada dua yang mana situasinya tergantung kepada niat seseorang terutamanya pemberi sedekah.

“Apabila kita melakukan amal soleh ataupun kebaikan di hadapan orang ramai, ada dua hukum di situ. Pertama, sekiranya perbuatan tersebut dilakukan dengan niat untuk mendapatkan pujian, maka hukumnya haram.

“Sebab situasi tersebut dinamakan sebagai riak. Manakala yang kedua, seseorang itu berniat agar orang yang tengok bersemangat untuk bersedekah. Maka hukumnya adalah harus.

“Setiap amalan itu bergantung kepada niat orang yang melakukan sesuatu perkara,” jelas Ustaz Azhar dalam video berdurasi satu minit 43 saat itu sebelum mendoakan Zizan dimurahkan rezeki ketika menerima wang tersebut.

Baca juga: Ambil masa lama nak turunkan berat badan, Nadeera nafi buat pembedahan bariatik