Anwar turun padang, yakin pentadbiran Aminuddin Harun wajar dikekalkan

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya terus memberikan mandat kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau menyifatkan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun telah membuktikan prestasi yang bersih, amanah dan berintegriti.

Menerusi hantaran di media sosial, Anwar berkata beliau mengakhiri kunjungannya ke Negeri Sembilan malam tadi dengan menghadiri program kempen di Pusat Bandar Senawang bagi memberi sokongan kepada calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Shahir Mohd Shah dan calon DUN Lenggeng, Zarinna Abu Zarin.

Menurut beliau, PH memasuki pilihan raya kali ini dengan rekod pentadbiran yang telah terbukti sepanjang menerajui Negeri Sembilan.

“HARAPAN memasuki pilihan raya ini dengan prestasi yang telah terbukti menerusi pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan yang bersih, amanah dan berintegriti di bawah pimpinan saudara Aminuddin Harun,” katanya.

Anwar berkata, pentadbiran kerajaan negeri turut berjaya merancakkan ekonomi, menarik lebih banyak pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Beliau menambah, sokongan Kerajaan Persekutuan juga membantu mempergiat usaha membasmi kemiskinan tegar, menjaga kebajikan rakyat serta menangani tekanan kos sara hidup.

Sehubungan itu, beliau mengajak pengundi di Negeri Sembilan mempertahankan pentadbiran sedia ada dengan memberi mandat baharu kepada Aminuddin Harun dan pasukan PH.

“Justeru, saya menyeru rakyat Negeri Sembilan untuk mempertahankan pentadbiran yang amanah dan berintegriti dengan memberikan mandat kepada saudara Aminuddin dan pasukan HARAPAN untuk meneruskan kecemerlangan serta membawa Negeri Sembilan menuju kemakmuran yang berpanjangan, Insya-Allah,” katanya.

Baca juga: PRN Negeri Sembilan: Tujuh Kertas Siasatan Dibuka – Polis