“5 bulan dalam penjara tak sesakit adik aku bertarung nyawa” – Kakak pelajar dilanggar polis tak mahu suspek diikat jamin

Oleh MAISARAH AISYA

Pastinya semua ingat akan kes calon pelajar yang sepatutnya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tetapi maut dilanggar oleh seorang pegawai kanan polis.

Lebih menyakitkan hati, pelajar tersebut dilanggar di kawasan sekolah dan suspek hanya melihat mangsa terbaring menunggu bantuan di tepi jalan.

Memetik Bernama, pegawai kanan polis DSP Mohd Nazri Abdul Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan membunuh seorang remaja pada tahun lalu.

Mohd Nazri, 46, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh, antara 12.05 tengah hari dan 12.40 tengah hari, 15 Dis 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan perbicaraan kes itu selama 30 hari bermula 4 Nov ini hingga 17 Jan tahun depan dan 1 Julai ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Kakak mohon suspek tak diikat jamin

Susulan perbicaraan bermula, kakak mangsa, Nur Zawani tampil memuat naik hantaran di X, berharap agar suspek tidak dibenarkan ikat jamin.

“Bulan tujuh ni dia nak minta untuk diikat jamin. Kalau boleh ikat jamin, terdiam aku. Dia dah bunuh adik aku.

“Nak menikmati hidup macam biasa diluar tirai besi. Lima bulan dalam penjara tak sakit pun berbanding sakit yang adik aku tanggung ketika bertarung nyawa.

Membalas persoalan seorang pengguna X bahawa kesalahan 302 tidak boleh diikat jamin, dia memaklumkan terpaksa menunggu bulan Julai ini.

“Kalau ikutkan memang tak boleh jamin. Tak tahu apa alasan peguam dia nak kemuka untuk minta ikat jamin.

“Memandangkan tarikh bicara bermua bulan November nanti, tengoklah bulan tujuh ini apa keputusan hakim tentang isu suspek minta dijamin,” ujarnya.

Baca juga: Gaji pemotong rumput di Malaysia boleh cecah RM6,000 sebulan, macam tak logik tapi ia benar