Penduduk Rohingya dakwa pemilik tanah tawar sewa flat, beri elektrik dan air percuma

Oleh MALAYSIADATELINE

Pemilik tanah didakwa menawarkan sendiri kediaman flat haram yang dibina di Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor itu untuk disewakan kepada warga Rohingya sejak tahun 2019.

Difahamkan, hampir 30 unit kediaman yang didirikan secara haram itu disewakan pada harga antara RM400 sehingga RM750 sebulan bergantung kepada keluasan serta kelengkapan disediakan.

Perkara itu didedahkan warga Rohingya yang pernah menyewa di situ sebelum keluar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dalam Operasi Kutip dijalankan pada 28 Februari tahun lalu.

Salah seorang warga Rohingya, Husain Abdullah yang pernah menyewa di kawasan itu memaklumkan bahawa flat tersebut didirikan secara berperingkat oleh pemilik tanah sejak 2018 dan siap sepenuhnya pada 2019, lapor Berita Harian.

“Pemilik mengupah pekerja kontrak warga Indonesia dan Vietnam untuk mendirikan flat ini pada bahagian depan dan belakang sehingga adanya antara 25 hingga 30 unit pintu kediaman.

“Ada unit disewakan dengan harga RM400, RM500, RM600 dan RM750 kepada warga Rohingya, termasuk saya sendiri dan pemilik memperoleh kutipan sewa lebih RM15,000 sebulan.

“Kami yang menyewa ditawarkan elektrik dan air secara percuma oleh pemilik. Saya percaya kemungkinan ia diambil secara haram dari sumber di kawasan berhampiran,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Husain juga mendakwa semua penduduk di kawasan berhampiran mengetahui kewujudan flat yang didiami warga asing terutamanya dari Myanmar itu malah mereka turut mengenali pemiliknya iaitu tuan tanah di lokasi tersebut.

Warga asing itu juga memberitahu bahawa pemilik sama sebelum ini pernah mendirikan kediaman haram di sebelah flat tersebut pada tahun 2014 namun merobohkannya selepas bangunan berkenaan selesai dibina.

Sementara itu seorang lagi warga Rohingya, Abdullah Saidurahman menafikan dakwaan bahawa pemilik flat berkenaan tidak mengetahui mengenai penyewa kediamannya yang terdiri daripada warga asing.

Bahkan pihak pemilik sendiri yang dikatakan menawarkan kediaman tersebut untuk disewakan kepada warga Rohingya, bukannya di atas nama penyewa lain seperti didakwa pihak tertentu.

“Memang ada dua unit kediaman disewa warga tempatan, manakala semua unit yang lain disewakan pada warga Rohingya. Bagaimanapun, selepas operasi besar pada Februari tahun lalu, semua warga Rohingya yang mendiami flat ini berpindah ke lokasi lain di kawasan berhampiran.

“Saya ingin memberitahu pemilik tanah sendirilah yang menawarkan kediaman ini kepada kami warga Rohingya dan bukannya kami menyewa atas penyewa lain,” jelas Abdullah untuk memperbetulkan dakwaan yang tersebar sebelum ini.

Husain dan Abdullah yang merupakan antara 42 individu ditahan dalam operasi bersepadu tahun lalu itu menjelaskan bahawa tiada lagi warga Rohingya tinggal di flat tersebut selepas pihak memberi amaran susulan membuat tangkapan.

Baca juga: Wanita Indonesia terkejut tahu murid di Malaysia bawa duit belanja RM5