6 lelaki menyamar jadi petugas PBT, pau duit RM200 kononnya nak turap jalan

Oleh KIM SYAZIE

Seramai enam orang lelaki dilaporkan telah menipu orang ramai dengan menyamar sebagai petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) baru-baru ini.

Dalam kejadian yang berlaku di Ampang Jaya itu, suspek juga berjaya memperdaya penduduk untuk menyerahkan wang sebanyak RM200.

Helah lelaki tampatan yang berusia 20 hingga 40 tahun itu terbongkar apabila seorang mangsa yang ditipu suspek membuat laporan polis.

Menurut laporan yang dibuat pada 13 Julai lalu itu, mangsa telah didatangi suspek yang kononnya menawarkan perkhidmatan penurapan jalan.

Perkhidmatan tersebut ditawarkan suspek dengan harga RM500, dan mangsa yang terpedaya itu telah membayar deposit sebanyak RM200.

Namun, malangnya, tiada sebarang penurapan jalan dilakukan oleh ‘pegawai PBT’ berkenaan walaupun bayaran telah dibuat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail memaklumkan bahawa pihaknya telah berjaya menahan enam lelaki terbabit.

Bertindak atas laporan, suspek difahamkan berjaya ditahan setelah serbuan dilakukan di sekitar daerah Ampang Jaya, lapor Kosmo!.

“Polis percaya ramai mangsa diperdaya dengan modus operandi suspek. 

“Kita minta sesiapa yang pernah menjadi mangsa tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.” Katanya memetik Kosmo!.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan suspek dipercayai bakal ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Baca juga: Lah konsert je pun, tapi rakyat negara ini paling ramai buat ‘loan’ demi tiket Blackpink dan Coldplay