Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) (Pindaan) 2021 diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat hari ini bagi membolehkan dananya digunakan membiayai perolehan vaksin Covid-19.
Pada masa ini 63 peratus daripada dana terkumpul KWAN digunakan bagi perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan dengannya, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sebanyak RM5 bilion, jelasnya, digunakan bagi menampung keperluan dan perbelanjaan vaksin Covid-19 ketika ini.
“Kerajaan akan menilai semula kedudukan Covid-19 dari masa ke semasa, mengambil kira jika ada keperluan vaksin mendesak, di samping mempergiatkan usaha menambah semula dana KWAN yang digunakan masa krisis ini.
“Sehingga September 2021, RM3.27 bilion daripada RM5 bilion dana KWAN digunakan, yang mana sebanyak RM2.8 bilion bagi tujuan perolehan vaksin dan selebihnya RM432 juta untuk pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya ketika penggulungan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.