Mahkamah Majistret Kuching menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan ke atas seorang lelaki gara-gara mencuri biskut di bilik rehat Klinik Kesihatan Jalan Masjid Kuching, semalam.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali telah menjatuhkan hukuman ke atas Mohammad Azlie Hamzamie, 31 tahun yang mengaku bersalah di bawah pertuduhan Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
Menurut pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa menceroboh ke bilik rehat Klinik Tibi, Klinik Kesihatan untuk mencuri tin biskut, mi segera, cerek elektrik dan beberapa bungkus minuman segera pada 13 Ogos sekitar jam 4.30 pagi.
Seorang pengawal keselamatan yang bertugas ketika itu memberikan keterangan memberitahu bahawa dawai pagar di bahagian belakang klinik telah dipotong.
Katanya, setelah pemeriksaan dilakukan, beliau mendapati jeriji pintu telah terbuka, selain ternampak tertuduh menggeledah barangan di dalam bilik terbabit.
Pendawaan telah dilakukan oleh Inspektor Mohd Adzmei Ahmad sementara tertuduh tidak diwakili peguam.