Jika BN menang esok, sah Umno tidak perlukan Pas dan Bersatu lagi

Oleh BORHAN AHMAD

Jika Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya negeri Melaka esok, bermakna ia akan mengabsahkan keputusan Umno yang diketuai oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib untuk bertanding bersendirian.

DR MOHD YUSRI IBRAHIM, KETUA PENYELIDIK ILHAM CENTRE

Menurut Penganalisis Politik dari Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim, keputusan ini akan jadi legitimasi kepada BN untuk bertanding secara solo dalam PRU15 akan datang, tanpa kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Apabila ini berlaku, walaupun tewas dalam PRN ini, Pakatan Harapan bakal beruntung.

“Pertandingan tiga penjuru dalam PRU sekali lagi akan memberi kelebihan kepada PH meskipun tewas dalam PRN Melaka ini,” kata Dr Yusri dalam analisis beliau itu.

Ini kerana, kata beliau, setting PRN dan PRK sangat berbeza berbanding PRU, tewas PRN atau PRK tidak boleh dijadikan petunjuk keputusan PRU.

Katanya, menjelang PRU14 lalu sebagai contoh, BN menang bergaya PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar dalam pertandingan tiga penjuru dengan PH dan Pas.

Namun dalam PRU14 BN menerima penangan teruk akibat menggunakan model PRK tersebut untuk dijadikan strategi pilihan raya umum.

“Sebab itu saya berpandangan, PH bukanlah pihak yang terlalu rugi andai BN menang PRN Melaka esok.

“Kemenangan itu akan meningkatkan keyakinan Umno yang mengetuai BN untuk bertanding sendirian dalam PRU15 nanti.

“Sekalipun akan hampa dengan lose the battle di Melaka, saya percaya PH akan lebih fokus untuk win the war PRU15 nanti,” kata beliau lagi.

Bagi Dr Yusri, pihak yang paling tidak senang andai BN menang esok sudah tentu PN, kerana kemenangan tersebut semakin menutup pintu kerjasama PN dan BN.

“Andai BN tewas, PN atau lebih khususnya Bersatu dan Pas mempunyai peluang besar untuk sekali lagi mendesak Umno ke meja rundingan. Jika BN menang bergaya esok, pintu rundingan tersebut hampir pasti tertutup, bahkan berkunci dengan mangga besar,” katanya.

Selain PN, tim A dalam Umno yang diketuai oleh presiden juga perlu mengawasi andai ada pihak dalaman Umno sendiri yang mengharapkan BN tewas.

“Jika BN menang esok, keputusan tersebut akan mengukuhkan kedudukan Zahid Hamidi dalam Umno, mengesahkan keputusan beliau untuk bertanding sendirian adalah tepat.

“Ini akan menyempitkan peluang tim B yang lebih mesra kerjasama dengan PN untuk mencabar beliau dalam pemilihan kepimpinan Umno nanti,” kata beliau.

Sebab itu, kata Dr Yusri, menjelang pembuangan undi beberapa jam lagi, apa sahaja boleh berlaku, politik sifatnya sangat dinamik, kadang2 sukar dijangkau oleh pemikiran umum.

“PN sendiri tentu mempunyai data lapangan yang mencukupi untuk mengambil maklum bahawa peluang mereka untuk menang esok agak tipis.

“Sekarang pilihan mereka sama ada untuk membiarkan BN menang sekaligus pintu rundingan tertutup, atau membantu PH menang supaya Umno kembali ke meja rundingan.

“Dalam politik serba pantas hari ini, saya tidak terkejut andai ada operasi seumpama itu digerakkan saat-saat akhir menjelang pembuangan undi pagi esok,” kata beliau

Dr Yusri juga mengaitkan PRN Melaka dengan Pemilu di Indonesia.

“Jika di Pemilu Indonesia ada serangan fajar dengan model mereka sendiri, pilihan raya kita juga berisiko ada serangan fajar dengan acuan sendiri juga, bisik-bisik pengarahan untuk mengubah undi.

“Siapa yang paling berstrategi akan keluar sebagai pemenang PRN Melaka ini, seperti Terengganu yang menang bergaya malam tadi, walaupun tidak sembang derah seperti tim yang kalah di Johor itu,” katanya.

Berbaki beberapa jam sebelum pusat pengundian dibuka awal pagi esok, sebarang kemungkinan masih boleh berlaku.

Data pelbagai agensi tinjauan membuat rumusan hampir sama, pertembungan sengit tetapi BN mendahului.

Namun peluang BN masih boleh diragut, khususnya melalui strategi akhir pihak-pihak yang bertekad untuk menghalang kemenangan BN.

Walaupun saingan utama BN adalah PH, namun PH bukanlah lawan yang paling rugi andai BN mengungguli PRN Melaka ini.