Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi momen penuh nostalgia apabila berpeluang bertemu sahabat lamanya, Syed Hamid Ali ketika lawatan ke Batu Pahat, Johor, petang semalam.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan beliau mengenali Pak Hamid sejak zaman mahasiswa di Universiti Malaya.
Beliau menyifatkan Syed Hamid sebagai antara tokoh penting gerakan mahasiswa yang lantang memperjuangkan isu keadilan sosial serta nasib golongan susah.
“Kami menghimbau pelbagai kenangan lama.
“Antara yang kami kenang adalah jaket merah yang pernah dipinjamkan Pak Hamid kepada saya ketika menghadiri satu persidangan di luar negara puluhan tahun lalu.
“Malangnya, jaket itu tidak dapat saya pulangkan kerana hilang di Tok Kun,” tulisnya berseloroh sambil disertakan emoji ketawa.
Menurut Anwar, pertemuan itu turut diisi dengan perkongsian pandangan dan pedoman daripada sahabat lamanya yang disifatkan kekal teguh dalam perjuangan sejak dahulu.
Beliau pada masa sama menzahirkan penghargaan atas kesetiaan Syed Hamid Ali terhadap perjuangan serta mendoakan kesihatan berpanjangan buat beliau dan keluarga.
“Terima kasih atas keteguhan dalam perjuangan, kekal setia dalam khittah perjuangan, serta kesediaan berterusan berkongsi pandangan dan pedoman,” katanya.
Dalam pertemuan tersebut, Anwar turut menyampaikan salam daripada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Manakala Syed Hamid menghadiahkan beliau sebuah memoir berjudul Kenangan Seorang Patriot.
Baca juga: PM Anwar umum dana PTPK RM50 juta dibenar salur untuk TVET 2.0, ini syaratnya