Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Itu gambaran yang berlaku sejurus Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berakhir kelmarin.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini membangkitkan kembali pendirian Pas yang ‘kasihnya’ berpaut pada Bersatu.
Walaupun dua kali kepimpinan tertinggi Umno mengadakan pertemuan dengan delegasi pimpinan Pas termasuk diketuai Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, kata Asyraf Wajdi, Pas lebih terdorong untuk bersama Bersatu.
“Waktu itu lagi kami membawa mandat Majlis Kerja Tertinggi untuk menawarkan agar Pas dapat bekerjasama dengan BN atas logo Pas.
“Kami tidak sesekali meminta Pas bertanding atas logo BN tetapi atas logo keramat bulan yang menjadi kebanggaan Pas.
“Bahkan, kepimpinan turut menawarkan 3 kerusi DUN yang berpotensi menang kepada Pas termasuk kerusi Duyong kawasan Pesuruhjaya Negeri, Datuk Kamaruddin sendiri.
“Malangnya, Pas lebih terdorong untuk menerima tawaran PPBM untuk bertanding di kerusi-kerusi yang Umno menang dalam PRU lepas dengan menggunakan logo PN,” tegasnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Untuk rekod, Pas mengetepikan logo partinya sendiri apabila bertanding dalam PRN Melaka menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN).
Walau bagaimanapun, Pas gagal menawan mana-mana lapan kerusi yang ditandingi iaitu di Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam, Kelebang dan Merlimau.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi dilihat mengungkit kembali pendirian Pas yang tidak akan meletakkan calon di kerusi DUN yang dimenangi Umno pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Ujarnya, Timbalan Presiden Pas sebelum ini memberikan jaminan tidak akan mengganggu kerusi-kerusi yang telah dimenangi oleh Umno dalam PRU-14.
“Pun begitu, walaupun BN menang besar dengan majoriti dua pertiga iaitu 21 daripada 28 DUN, kepimpinan Umno masih bersifat terbuka, jauh sekali untuk berasa selesa mahupun sombong dengan kemenangan yang ditakdirkan dalam PRN Melaka,” katanya lagi.