Ketua Pemuda Pas sangat anti ‘dedalu politik’, toksik bukan Umno-Muafakat Nasional

Oleh ARIF ATAN

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari sebentar tadi menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa dia tidak sukakan Umno dan Muafakat Nasional (MN).

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, dia paling anti kepada ‘manusia’ iaitu orang politik yang suka memesongkan fakta dan mengambil kenyataan sekerat.

Bahkan, Ahmad Fadhli melabelkan individu terbabit sebagai hanya dedalu politik, sama sekali tidak memberi manfaat serta menambah toksik.

“Saya tidak anti Umno, jauh sekali anti Muafakat Nasional. Hubungan saya dengan pemimpin-pemimpin Umno khususnya di Parlimen sangat baik, tiada masalah.

“Namun dalam hal berdepan dengan manusia yang suka memesongkan fakta, mengambil kenyataan sekerat dan kemudiannya membuat pemahaman sendiri, lantas menabur persepsi pula atas pemahaman yang dibuat itu, saya fikir orang seperti ini sangatlah tidak berguna untuk politik negara, di dalam parti apa sekalipun.

“Manusia seperti ini hanyalah dedalu politik, datangnya langsung tiada faedah, bahkan menambah toksik untuk memastikan dirinya besar dan segar.

“Saya bukan anti kepada parti tertentu, namun ya, saya sangat anti kepada manusia seperti ini,” tegasnya dalam hantaran di Facebook sesudah Subuh tadi.

Penegasan Ahmad Fadhli itu dilihat susulan ‘perang mulut’ Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) berkenaan dengan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Fadhli Shaari

Semalam, Ahmad Fadhli ‘menyekolahkan’ Asyraf supaya betul-betul membaca sebelum memberi komentar dan belajar mencari kenyataan asal memandangkan dia tidak ada pun menyatakan Pas mahu menggugat kubu BN seperti didakwa Asyraf.

Dakwaan Asyraf yang dua kali kalah bertanding di Parlimen Tumpat semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) dan Parlimen Pasir Puteh pada PRU-14 itu berhubung kenyataan media Ahmad Fadhli sehari selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ahmad Fadhli menyebut Pas dan PN telah menunjukkan kemampuan yang memberangsangkan dalam PRN Melaka sebagai pasukan yang dilihat ‘underdog’.

Katanya, PN berjaya merampas dua kerusi DUN yang dimenangi BN dan DAP sebelum ini, serta berada di tempat kedua di beberapa kerusi majoriti Melayu walaupun PN dijangka akan ‘bungkus’ di semua kerusi.

“Pas juga mencatatkan keputusan yang amat memberangsangkan apabila hampir merampas kerusi DUN Serkam dengan majoriti yang amat tipis (79 undi), serta mencatatkan pertambahan undi di semua kawasan yang ditandingi kecuali di DUN Duyong, di sebalik penurunan mendadak peratusan keluar mengundi.

“Ini merupakan petanda awal kemampuan Pas dan PN di kubu kuat BN di Melaka, yang tidak boleh dipandang enteng oleh semua parti,” ujarnya lagi.

Menguatkan hujah berkenaan hubungannya tiada masalah dengan Umno, Ahmad Fadhli pagi ini memberitahu dia memberikan sokongan kepada Ahli Parlimen yang dipanggilnya “sahabat-sahabat dari Umno” dalam perbahasan di Parlimen.