Sukar parti alternatif kuasai politik Sarawak masa ini

Oleh ARIF ATAN

Seperti dijangka oleh para penganalisis Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memenangi pilihan raya negeri Sarawak dengan gayanya.

Kemenangan besar mereka hanya “ditenggelamkan” oleh berita dan laporan-laporan berkaitan banjir besar yang melanda sebahagian negeri-negeri di Semenanjung.

Awal-awal lagi GPS telah mempunyai “lead” yang sukar dikejar oleh pihak lawan. Dan penelitian kepada persiapan dan kesiapsagaan semua parti yang bertanding jelas menunjukkan GPS berada jauh di hadapan menjelang hari penamaan calon pada 6 Disember lagi.

Di pihak pembangkang pula beberapa tindakan mereka seperti “menjaringkan gol sendiri” dengan itu mempermudahkan strategi GPS untuk menguasai kempen sehingga membuahkan kejayaan yang luar biasa itu.

Saya berada di Sarawak sepanjang kempen pilihanraya tersebut. Tidak dapat dinafkan bahawa suasana keseluruhan mirip kepada apa yang biasa dilihat di Semenanjung dalam tahun 1970-an ke awal 1990-an semasa Barisan Nasional (BN) menjadi satu-satunya gergasi politik yang secara mudah “membaham” pembangkang dalam setiap kali pilihan raya.

Kini GPS membaham pihak lawan dengan mudah kerana faktor kelebihan yang ada padanya sedangkan parti-parti pembangkang di posisi sama seperti parti-parti pembangkang satu masa dahulu di Semenanjung.

Semasa kempen berjalan kerajaan sementara yang dipegang oleh pemimpin GPS “turun” menjalankan projek-projek segera (instant) seperti penurapan jalan, pembaikan sebahagian infrastruktur dan lain-lain tindakan seperti pecah tanah pusat perniagaan baru dan sebagainya.

Walaupun ini tidak patut dilakukan khususnya apabila pengumuman projek baru dijanjikan atas premis pengundi membuat “pilihan yang betul dan tepat” ia tetap terjadi.

Amalan ini sudah lama sebati dengan BN yang memerintah negara sejak 1974 hingga 2018.

Perang bendera dan poster juga sama. Dan sepertimana BN, GPS menguasai “perang” segalanya — poster, bendera, risalah dan lain-lain.

Di kebanyakan tempat hanya bendera dan iklan GPS yang kelihatan walaupun ada parti lain bertanding.

Kehadiran parti-parti politik selain GPS dalam politik Sarawak nampaknya bermusim, kerana hampir semuanya hanya muncul semasa pilihan raya hendak diadakan.

Ini bermakna dalam lebih kurang sebulan mereka aktif sedangkan tempoh sepenggal ialah lima tahun.

Berbeza dengan parti pemerintah yang walaupun tidak menggunakan lambang parti namun sentiasa mempunyai program sebagai kerajaan yang membuat projek itu dan ini sehingga sukar bagi rakyat melupakannya.

Walaupun hanya mungkin satu atau dua projek kecil dibuat dan itupun di hujung penggal pemerintahan, ia masih meninggalkan kesan. Termasuklah kemunculan pemimpin-pemimpin mereka di kaca televisyen dan media lain yang mendapat liputan meluas.

Kita boleh menyenaraikan faktor-faktor yang memberi kelebihan kepada GPS berbanding parti-parti lain termasuk pembangkang utama seperti DAP dan PKR, namun kita juga harus memahami psikologi dan kedudukan rakyat yang tersusun mengikut kelas sosio-ekonomi tersendiri itu sebagai latar belakang kepada pola pemilihan semasa pilihan raya.

Pendidikan politik dalam kalangan rakyat amat mundur sekali. Maksud pendidikan politik termasuklah pemahaman selok-belok demokrasi, tentang kebebasan, tentang tanggungjawab pemerintah, mengenai pilihan yang tidak terbatas, kuasa undi untuk merubah kerajaan ketika pilihan raya, undi bagi mendapatkan kerajaan yang terbaik, menguatkan kedudukan pembangkang supaya “semak dan imbang” boleh berjalan dengan baik dan sebagainya.

Biasanya celik politik dan amalan demokrasi penuh tidak digemari parti pemerintah dalam dunia ketiga umumnya kerana ia membahaykan kedudukan atau dominasi mereka dalam politik negara atau negeri.

Dalam pilihan raya kali ini juga parti-parti pembangkang tidak menampakkan kesungguhan untuk menjadi kerajaan kerana hanya bertanding di kerusi-kerusi tertentu.

Rakyat lebih cenderung memberi undi kepada GPS yang meletakkan calon di semua 82 kerusi dan menunjukkan kesungguhan untuk memerintah Sarawak.

Ini dengan sendirinya menjadi “drawback” kepada parti pembangkang kerana pengundi tidak mahu membazirkan undi kepada parti yang tidak mungkin boleh memegang tampuk pemerintahan negeri.

Nampaknya pembangkang menyertai pilihan raya bagi mempertahankan imej dan ego masing-masing, malah saya melihat ada sepanduk parti pembangkang menyerang parti pembangkang lain.

Dari awal lagi pembangkang tidak dapat sepakat dalam menghadapi GPS yang masuk bertanding sebagai satu pasukan yang bersatu padu.

Parti-parti ini samalah perangainya dengan parti-parti pembangkang di Semenanjung satu ketika dahulu yang bertanding sesama sendiri justeru memberi kemenangan percuma lagi mudah kepada parti pemerintah yang serba lengkap itu.

Hasilnya, pembangkang kecundang di beberapa kerusi yang sebenarnya boleh mereka menangi sekiranya bertanding satu lawan satu.

Sekurang-kurangnya perpecahan parti pembangkang telah memberi laluan mudah kepada GPS di 12 kerusi apabila pertandingan antara mereka telah memberikan kemenangan kepada gabungan itu.

Malah jumlah undi yang diperoleh parti-parti ini memberikan majoriti agak selesa andaikata pertandingan hanya satu lawan satu.

Misalnya di Kota Sentosa tiga parti pembangkang yang bertanding iaitu DAP, PSB dan PBK mendapat jumlah undi 7466 mengatasi calon GPS yang mendapat 5806 undi.

Di Batang Ai, undi lawan GPS berjumlah 3993 mengatasi calon GPS yang mendapat 3885 undi. Masih jauh lagi perjalanan buat mereka.

GPS pula mempunyai kelebihan kerana sebagai parti yang menguasai kerajaan, bahkan ia hanya penjenamaan semula Barisan Nasional (BN) sebelum ini, sudah membina akar umbi yang kuat dan berpengaruh.

Parti-parti lain masih belum mempunyai capaian sepertinya. DAP walaupun sudah lama bertapak di Sarawak masih belum dapat menembusi kawasan di luar daripada kubunya di bandar-bandar ditambah pola pengundian masyarakat Cina sebagai teras penyokongnya tidak terikat memberi sokongan kepadanya setiap kali pilihan raya dan diterjemahkan dalam pilihan raya kali ini.

Kebanyakan penganalisis merumuskan keperluan malah prasyarat utama mana-mana parti mahu mendapat kemenangan dalam beberapa kerusi yang ditandinginya ialah mesti bekerjasama dalam bentuk membuat muafakat atau bergabung dengan parti-parti lain.

Selama beberapa dekad sejak kemerdekaan, parti-parti yang tidak bergabung – iaitu di pihak pembangkang – langsung tidak dapat menggugat kedudukan parti pemerintah yang terdiri daripada gabungan berbagai parti mewakili segmen-segmen di dalam masyarakat.

Akhirnya apabila timbul kesedaran dalam kalangan mereka barulah adalah kemajuan dan mereka berjaya menamatkan dominasi BN dan membentuk kerajaan dalam PRU ke-14 pada 2018.

Adakah parti-parti pembangkang di Sarawak bersedia untuk berubah?