Perjanjian pembekalan jangka panjang gas asli cecair (LNG) telah memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun dalam sektor tenaga serta kewangan dengan penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga dua hala.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kerjasama melibatkan PETRONAS dengan syarikat Jepun iaitu JERA itu dimuktamadkan melalui perjanjian untuk membekalkan dua juta tan LNG setahun ke negara tersebut selama 20 tahun.
Pemimpin nombor satu negara itu turut menyifatkan perjanjian tersebut sebagai pencapaian besar sekali gus mencerminkan tahap kepercayaan tinggi serta hubungan erat dua hala antara Malaysia dan Jepun, lapor Berita Harian.
Anwar juga memaklumkan bahawa kedua-dua negara itu turut memperluaskan kerjasama kewangan menerusi pengaturan baharu termasuklah perjanjian urus niaga menggunakan pertukaran mata wang Ringgit Malaysia dan Yen Jepun.
“Kami baru sahaja memuktamadkan perjanjian jual beli LNG jangka panjang antara PETRONAS dan JERA untuk membekalkan dua juta tan LNG setahun bagi tempoh 20 tahun bermula 2028.
“Ini merupakan satu pencapaian yang luar biasa dan kejayaan dari segi kepercayaan serta kerjasama antara dua negara sahabat yang hebat,” kata Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu memetik laporan Berita Harian.
Mengulas lanjut, beliau juga menekankan bahawa usaha dalam memperluaskan transaksi menggunakan ringgit dan yen bagi mengukuhkan hubungan ekonomi serta perdagangan antara kedua-dua negara juga perlu diberikan perhatian.
Hal ini kerana usaha tersebut mampu mengurangkan kebergantungan kepada mata wang pihak ketiga dalam menjalankan urus niaga dua hala selain turut meningkatkan daya tahan ekonomi Malaysia dan Jepun.
“Perkara yang sangat penting dan dekat di hati saya ialah memperluaskan transaksi mata wang tempatan menggunakan ringgit dan yen supaya kita dapat meningkatkan kebergantungan antara satu sama lain.
“Saya juga amat gembira mendengar persetujuan dan persefahaman yang dicapai antara Bank Negara Malaysia dan Bank of Japan mengenai perkara ini,” ujarnya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi.
Jelasnya, perkembangan itu mencerminkan kesediaan kedua-dua negara untuk terus memperluaskan kerjasama dalam bidang strategik yang mampu memberi manfaat jangka panjang demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi masing-masing.
Kerjasama dalam sektor tenaga dan kewangan ini juga menjadi bukti bahawa hubungan Malaysia dan Jepun terus berkembang kukuh di bawah Kerjasama Strategik Komprehensif yang dipersetujui oleh kedua-dua negara.
Terdahulu, ketibaan Anwar di pejabat Perdana Menteri Jepun itu diraikan dengan sambutan rasmi sambil diiringi Takaichi sebelum menerima tabik hormat kawalan kehormatan yang disusuli dengan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara.
Beliau kemudian diperkenalkan kepada barisan menteri Kabinet Jepun serta pegawai kanan kerajaan negara itu, sebelum memperkenalkan anggota delegasi Malaysia yang mengiringi beliau kepada Takaichi.
Baca juga: Fokus tarik pelaburan berkualiti, PM Anwar bertemu 6 syarikat peneraju industri di Jepun