“Kalu abbe tok kijo, mama, adik nok make gapo” – Remaja 15 tahun sanggup kerja demi RM80 seminggu

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang remaja berusia 15 tahun sanggup mengetepikan alam persekolahan demi bekerja untuk menyara ibu serta empat adiknya selepas keluarga mereka berdepan kesempitan hidup yang serius.

Adik Shamir dari Kampung Repek, Pasir Mas dikatakan terpaksa keluar bekerja dengan upah sekitar RM80 seminggu bagi memastikan keluarganya tidak kelaparan.

Menurut ibunya, Hafizan, dia sebelum ini pernah melarang anak sulungnya itu bekerja, namun jawapan diberikan Shamir benar-benar meruntun hati seorang ibu.

“Kalu abbe tok kijo, adik dengan mama nok make gapo?” katanya.

Hafizan yang kini sarat mengandung tujuh bulan berkata dia hanya mampu menahan sebak melihat anaknya memikul tanggungjawab besar yang sepatutnya digalas seorang ayah selepas suaminya kini berada di penjara.

Difahamkan, setiap wang yang diperoleh Shamir digunakan untuk membeli beras dan keperluan asas keluarga.

Malah, ada ketika mereka langsung tidak mempunyai wang sehingga Hafizan terpaksa menyediakan nasi goreng tanpa lauk untuk anak-anaknya.

“Hanya garam dan gula jadi penyedap rasa, sekadar alas perut supaya anak-anak tak lapar,” menurut perkongsian itu.

Kesukaran hidup keluarga tersebut bertambah apabila mereka terpaksa keluar dari rumah sewa lama selepas gagal membayar sewa bulanan selama empat bulan.

Bagaimanapun, nasib keluarga itu mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang tampil menghulurkan bantuan.

MAIK menerusi Pegawai Agihan Zakat, Siti Farahida Fauzi dan Pegawai Komunikasi Korporat, Firdaus Mat Rahim bersama Ketua Aktivis Pertubuhan Jejak Jalanan, Abbe Hae telah menyantuni keluarga berkenaan.

MAIK turut menyampaikan bantuan makanan serta Bantuan Am berjumlah RM1,600 selain menanggung kos sewaan rumah baharu keluarga itu sebanyak RM250 sebulan.

Menurut MAIK, keluarga tersebut juga sedang dipertimbangkan untuk menerima Bantuan Bulanan bagi membantu menampung kos sara hidup mereka dalam jangka panjang.

Dalam nada sebak, Hafizan merakamkan penghargaan kepada semua pembayar zakat yang membantu keluarganya ketika berada dalam keadaan terdesak.

“Terima kasih kepada semua pembayar zakat. Bantuan ini sangat bermakna untuk kami.

“Saya tak tahu macam mana nak balas jasa semua yang membantu keluarga kami ketika kami benar-benar susah,” katanya.

Baca juga: Kerajaan salur bantuan BUDI MADANI Diesel hari ini! Penerima layak dapat RM400