Sebanyak 3,543 kes positif baharu Covid-19 direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) setakat jam 12 tengah hari ini.
Angka yang dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah itu menjadikan jumlah kumulatif wabak itu kini mencecah 2,776,699 kes.
Sementara itu, data dari laman sesawang COVIDNOW menunjukkan sebanyak 18 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan setakat semalam menjadikan jumlah kematian kini sebanyak 31,609 kes.
Daripada 18 kes kematian semalam, tiga daripadanya membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) sekali gus menyumbang 6,378 kes BID.
Setakat tengah malam tadi juga, 120 pesakit Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 137 kes ICU memerlukan alat bantuan pernafasan.