‘Laju weh dia reply’ – Pelanggan mengadu salah dapat lauk, Khairul Aming siap tawar refund penuh

Oleh MALAYSIADATELINE

Bukan sekadar minta maaf, usahawan Khairul Aming terus tawar refund penuh atau lauk baharu selepas seorang pelanggan menerima pesanan yang tersilap.

Menerusi perkongsian pengguna Threads, @ecofreakrider, dia berkongsi bahawa dia membeli gulai jenahak secara bungkus di Rembayung.

Namun setibanya di rumah, dia mendapati lauk yang diterima sebenarnya ialah gulai ikan masin.

Menurutnya, dia tidak membuat kecoh, sebaliknya menghubungi Khairul Aming menerusi Threads, TikTok, Instagram dan e-mel sekitar jam 9 malam.

Tidak lama kemudian, Khairul Aming membalas mesej tersebut kira-kira jam 11 malam dengan memohon maaf atas kesilapan yang berlaku.

Dalam mesej yang dikongsi pelanggan itu, Khairul Aming memaklumkan pasukannya sedang menjalankan pemeriksaan dan menawarkan dua pilihan penyelesaian.

Sama ada pemulangan wang penuh bagi lauk berkenaan atau menyediakan semula gulai jenahak yang baharu untuk diambil mengikut waktu yang dipersetujui.

“Sekali lagi saya mohon maaf atas kesilapan dari pihak kami ini,” tulis Khairul dalam tangkap layar dikongsi pengguna Threads.

Dalam kemas kini terbaharu, pelanggan itu memaklumkan lauk baharu telah selamat diterima.

“So harini dah selesai, team Rembayung terus lalamove lauk ganti gulai ikan jenahak siap free kuih badak berendam dan nota permohonan maaf.

“Aahhhh, terharu sangat sis sebagai customer biasa-biasa ni. Sebab review makanan kat Rembayung dah berlambak kan, so ni aku review customer service team KA dan Rembayung.

“Memang terbaik dan next level. Bukan sebab tak pernah buat silap, tapi sebab cara mereka handle bila silap tu memang world class,” kongsi pengguna Threads.

Dalam masa sama Khairul turut mengesahkan perkara itu menerusi balasan di Threads.

“Yeayy dah sampai lauk baru. Kami minta maaf lagi sekali isu semalam. Jemput makan dengan badak berendam okiee,” ujarnya di Threads.

Baca juga: Kerajaan Madani fokus perkukuh Felda, pastikan peneroka benar-benar terima manfaat