Pakatan Harapan (PH) mula melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 yang mengandungi 10 tawaran utama merangkumi aspek kesihatan, perumahan, pekerjaan, pendidikan, keusahawanan dan pembangunan ekonomi.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tawaran yang dibentangkan itu disediakan bagi memenuhi aspirasi rakyat Johor serta membawa negeri itu ke arah pembangunan yang lebih mampan dan inklusif.
“Kami hamparkan tawaran yang terbaik sebagai usaha memaknai aspirasi dan harapan Bangsa Johor untuk negeri yang lebih ke depan, Insya-Allah.
“Johor ke depan bersama Pakatan Harapan!” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Antara tawaran utama yang diumumkan ialah Skim Kesihatan Johor sehingga RM100,000 setahun, bantuan RM8,000 bagi pembelian rumah pertama anak Johor, Dana Anak Muda Johor bernilai RM500 juta serta pembinaan 80,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun.
Manifesto itu turut menjanjikan internet gigabit dan kemudahan kecerdasan buatan (AI) di semua sekolah menjelang 2030, dana RM1 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan Johor, selain memperkukuh sektor agromakanan sebagai pemacu ekonomi negeri.
PH turut berjanji mengurangkan masa menunggu di pintu masuk Johor-Singapura sehingga 50 peratus menerusi penambahbaikan sistem pengangkutan dan mobiliti rentas sempadan.
Selain itu, gabungan berkenaan menyasarkan pewujudan 250,000 pekerjaan bergaji tinggi melalui pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), ekonomi digital, kecerdasan buatan, teknologi hijau dan industri bernilai tinggi.
Manifesto itu turut menggariskan beberapa inisiatif lain termasuk pembukaan Taska Madani dan taska di tempat kerja, pas pengangkutan awam RM50 sebulan.
Turut ditawarkan adalah rogram membawa pulang profesional Johor yang bekerja di luar negara, memudahkan urusan tanah pajakan serta pemberian bonus RM1,000 kepada setiap bayi yang lahir di Johor sebagai simpanan permulaan masa depan.
Baca juga: PRN Johor: Peratus keluar mengundi awal cecah 92.86 peratus setakat jam 3 petan