Dari Pekan ke Kajang, kawasan Parlimen ini sedang ‘trending’

Oleh ARIF ATAN

Kerusi Parlimen Pekan (P.085) yang sebelum ini diwakili Datuk Seri Najib Razak muncul ‘trending’ apabila orang ramai mengaitkan dengan Kajang merujuk pada penjara.

Malam tadi merupakan malam pertama bekas Perdana Menteri yang digelar penyokongnya, Bossku menghuni penjara yang terletak di Sungai Jelok dekat Saujana Impian, Kajang itu.

Di Twitter setakat jam 10 pagi tadi, ‘Pekan’ muncul sohor kini selain tentunya ‘Najib’, ‘Hisyam’, ‘Shafee’, ‘rakyat’ dan ‘Ismail Sabri’.

‘Pekan’ disebut-sebut di Twitter sejak semalam apabila warganet berkongsikan gambar dan video penyokong tegar Najib yang tidak berganjak di perkarangan Istana Kehakiman walaupun Putrajaya dilanda hujan.

Semalam, dilaporkan sebanyak 10 bas dari Pekan dengan setiap bas membawa 44 penumpang dari empat sayap Umno kawasan Parlimen itu.

Hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib juga dianggap netizen sebagai detik bersejarah untuk Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu mengucapkan selamat tinggal kepada pengundi Pekan.

Bermula hari ini, jika Najib tidak menerima pengampunan diraja dalam tempoh 14 hari, suami Rosmah Mansor itu bakal kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pekan secara automatik.

Hal ini memandangkan kelayakan sebagai Ahli Parlimen terlucut jika disabit kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 serta tidak mendapat pengampunan bebas.

Namun, sejak lebih seminggu lalu, nama anak sulung Najib iaitu Datuk Mohd Nizar, 44, disebut-sebut bakal bertanding atas tiket BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Pekan.

Najib menguasai Pekan sebanyak lapan penggal bermula pilihan raya umum 1986.

Baca juga Iklan Super Ring pun penyokong Najib sentap

Baca juga “Mak bapa sibuk beratur nak makan sukiya, ingat saya ni pengasuh ke” – Wanita kongsi kerenah ibu bapa di pusat beli-belah