Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta daripada kerajaan bertujuan untuk memperkukuh pembangunan industri teksi negara.
Difahamkan, peruntukan itu disalurkan untuk memperluaskan skim penggunaan kenderaan jenis Proton S70 sebagai teksi baharu dengan mengurangkan beban kos operasi yang ditanggung pemandu.
Khabar gembira tersebut disampaikan oleh Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu dalam Majlis Peluncuran Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional hari ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Program tersebut sekali gus menamatkan sistem pajakan lama dalam industri teksi tempatan dengan pemandu diberikan hak pemilikan kekal ke atas kenderaan baharu yang dibeli menerusi skim berkenaan.
Berikut kami senaraikan antara pembaharuan serta manfaat yang bakal dinikmati oleh pemandu teksi melalui pelaksanaan program ini;
- Kelulusan khas daripada Kementerian Kewangan untuk membolehkan pemandu teksi menjadi pemilik sah kenderaan walaupun masih dibiayai menerusi institusi kewangan.
- Peruntukan untuk mengurangkan kos operasi termasuk caj pembaikan serta penyelenggaraan, perkhidmatan, pinjaman dan lain-lain itu dijangka bakal menambah pendapatan pemandu antara RM5,000 hingga RM7,000.
- Kenderaan jenis Proton S70 dipilih sebagai teksi rasmi baharu negara selepas mengambil kira ciri keselamatan, keselesaan penumpang serta kecekapan penggunaan bahan api.
- Teksi baharu akan tampil lebih moden tanpa penanda atas bumbung (taxi topper) dan menggunakan siri nombor pendaftaran khas bermula dengan huruf ‘GET’
- Perbincangan untuk memperkenalkan pemasangan skrin iklan digital di dalam kabin teksi sebagai sumber pendapatan tambahan kepada pemandu selain tambang daripada penumpang.
Baca juga: Kenapa durian tiba-tiba murah gila? Sebab sebenar bukan macam yang kita sangka