Malaysia akan terus memainkan peranan yang konstruktif dalam memperkukuh ASEAN sebagai sebuah komuniti yang berdaya tahan, inklusif dan mampu memenuhi aspirasi rakyatnya.
Perkara itu dimaklumkan Anwar menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook berhubung kunjungan hormat yang diterimanya daripada Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.
Menurut Anwar, kunjungan tersebut memberi peluang untuk mereka bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau serta keutamaan kesatuan ini dalam mendepani landskap geopolitik dan ekonomi yang semakin mencabar.
“Kami juga menyentuh perkembangan di Myanmar, situasi di Laut China Selatan, kemajuan kecerdasan buatan (AI), pasca penyertaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN, pelaksanaan ASEAN Community Vision 2045 serta implikasi konflik di Asia Barat terhadap rantau ini.
“Saya menegaskan bahawa ASEAN mesti terus berpegang kepada prinsip perpaduan, pemusatan (centrality) dan kerjasama yang erat agar rantau ini kekal aman, stabil dan makmur,” kata Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu dalam perkongsian tersebut.
Difahamkan, pertemuan itu dilakukan selepas Anwar menyampaikan ucaptama dan selesai menghadiri sesi soal jawab pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-39 di ibu negara, semalam.
Baca juga: Ramai pertikai skim LINDUNG 24 Jam, PERKESO dedah RM1.2 juta faedah sudah disalurkan