Tertelan cecair vape, kanak-kanak 2 tahun sawan, perlu bantuan penafasan

Oleh KIM SYAZIE

Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun memerlukan bantuan pernafasan selepas dilaporkan tertelan cecair vape.

Berlaku di Bera, Pahang, anak kecil yang berusia dua tahun itu mengalami gejala batuk, muntah dan sesak nafas ketika ditemui.

Ketika kejadian mencemaskan itu berlaku, terdapat peranti rokok elektronik (vape) pakai buang ditemui berada berdekatan dengan mangsa.

Susulan penemuan tersebut, siasatan mendapati, kanak-kanak tidak bersalah itu dipercayai mengalami keracunan nikotin akut.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), mangsa dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Kanak-Kanak kerana memerlukan bantuan penafasan.

“Kanak-kanak itu tidak mempunyai sejarah penyakit kronik dan ketika ditemui, mangsa turut mengalami gejala batuk, muntah dan sesak nafas.

“Kanak-kanak ini dipercayai tersedut atau tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik jenis pakai buang.

“Kanak-kanak ini seterusnya dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, Pahang kerana memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Selepas dimasukkan ke hospital, kanak-kanak malang itu juga didapati mengalami sawan sebanyak dua kali ketika rawatan sedang berlangsung.

Keputusan ujian air kencing yang dijalankan ke atas mangsa juga menunjukkan kehadiran nikotin berada pada paras yang tinggi.

Menurut KKM, setelah seminggu menerima rawatan, mangsa dilaporkan stabil dan sudah mampu bernafas tanpa bantuan alat pernafasan.

Baca juga: Anak Amyra Rosli dijangkiti HFMD, nasihat ibu bapa ‘alert’ jika anak demam