Majlis Makan Malam Gala yang dihoskan Presiden Rusia, Vladimir Putin menjadi ruang interaksi dalam memperkukuh persefahaman, membina kepercayaan serta meneroka kerjasama bermanfaat kepada negara-negara ASEAN dan Rusia.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut berkesempatan untuk menghadiri majlis diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia tersebut.
Menerusi perkongsian di platform Facebook, Anwar turut menyifatkan majlis itu sebagai medan yang penting dalam mempererat hubungan persahabatan serta bertukar pandangan dengan para kepimpinan negara yang hadir.
“Majlis ini bukan sahaja menampilkan persembahan kebudayaan Rusia yang kaya dengan sejarah dan warisan, termasuk mencerminkan kepelbagaian tradisi serta sumbangan tamadun Islam dalam membentuk identiti masyarakatnya,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan itu menekankan kepentingan memperkukuh persefahaman, membina kepercayaan dan meneroka kerjasama dalam suasana dunia yang terus berdepan dengan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan ini.
Sekadar info, pemimpin nombor satu negara itu mengadakan kunjungan rasmi ke Kazan iaitu ibu kota Tatarstan, Rusia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia daripada 17 sehingga 18 Jun.
Baca juga: Pertemuan yang produktif! Ini inti pati perbincangan PM Anwar dengan Vladimir Putin