Ramai rakyat Malaysia baru mengetahui mengenai protokol yang diamalkan oleh Istana Thailand selepas sebuah video yang dikongsikan bekas penyampai berita TV3, Izwan Azir Saleh, tular di media sosial.
Menerusi perkongsian itu, Izwan menjelaskan bahawa dalam protokol diraja Thailand, rakyat tidak dibenarkan berada pada kedudukan yang lebih tinggi daripada raja.
Dalam video berkenaan, anggota polis yang mengawal lalu lintas dilihat melutut di tepi jalan kerana Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn, sedang berada dalam keadaan duduk di dalam kenderaan diraja.
“Di dalam protokol Istana Thailand, rakyat tidak boleh berdiri lebih tinggi daripada Raja.
“Dalam video ini, kerana Raja Maha Vajiralongkorn sedang berada dalam posisi duduk di dalam kenderaan diraja, polis yang berkawal di jalan raya akan melutut untuk memastikan dirinya ‘lebih rendah’ daripada kedudukan fizikal Raja,” kongsinya.
Izwan turut menjelaskan bahawa ketika menghadap di istana, ahli kerabat diraja kebiasaannya akan merendahkan diri di bawah paras lutut raja dan bergerak secara merangkak sebagai tanda penghormatan.
“Ketika menghadap di Istana pula, kerabat biasanya merendahkan diri di bawah paras lutut raja, dan akan merangkak (khlan khao) untuk menghadap raja,” tambahnya lagi.
Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai yang mengakui baru mengetahui mengenai adat dan protokol unik yang masih diamalkan oleh institusi diraja Thailand sehingga hari ini.
Baca juga: Pengarah, bekas pengarah dicekup SPRM, projek kerajaan didakwa ‘dijual’ pada kontraktor kroni