Felda boleh terus bertahan dan berupaya menambah baik aliran tunai disebabkan adanya jaminan penstrukturan semula pinjaman oleh kerajaan.
Presiden Kami Anak Felda (KAF), Fakhrul Razi Husin, berkata usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sangat besar dan ia dilihat penting bagi memastikan kelestarian Felda serta peneroka terjamin.
“Kami warga Felda berterima kasih dan bersyukur dengan usaha Perdana Menteri yang prihatin masa depan Felda.
“Jaminan Kerajaan bagi penstrukturan semula pinjaman Felda bukan sahaja perkara yang sangat penting kepada agensi untuk terus bertahan, tetapi ia berupaya mengembalikan aliran tunai yang baik kepada Felda sekali gus membantu warga peneroka serta generasinya,” katanya.
Fakhrul mengulas perjanjian membabitkan Jaminan Kerajaan kepada Felda yang ditandatangani Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan kelmarin bagi menstruktur semula pinjaman agensi itu selain mengukuhkan kedudukan kewangannya.
Melaluinya, sebahagian besar penstrukturan semula pinjaman Felda akan membabitkan pengurangan prinsipal hutang agensi itu bersama institusi kewangan berjumlah RM7.9 bilion.
Ia juga akan mengurangkan kos kewangan Felda terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkan agensi itu memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada 2021