Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian untuk tidak campur tangan dalam pertikaian berhubung isu membabitkan institusi beraja di Negeri Sembilan.
Kerajaan Persekutuan juga tetap menghormati bidang kuasa kerajaan negeri dan institusi Yang Dipertuan Besar walaupun terdapat pelbagai pandangan berbeza mengenai sistem beraja di negeri itu.
Walau bagaimanapun, beliau tetap menekankan keperluan untuk menyelesaikan segala pertikaian yang kini sedang berlaku di wilayah Adat Perpatih itu mengikut lunas Perlembagaan dan undang-undang sedia ada.
“Kita diheret bincang soal sistem Raja. Saya tahu dulu di Negeri Sembilan ada juga yang tidak bersetuju dengan keputusan saya. (Namun) Saya tidak campur dalam keputusan di peringkat negeri. Kita (Kerajaan Persekutuan) harus tadbir negara.
“Perkara ini bukan darurat yang Kerajaan Persekutuan boleh ambil alih kalau ada pertelingkahan antara Yang Dipertuan Besar dan Undang. Adakah saya tidak hubungi Undang? Saya ada menghubungi Undang.
“Saya tidak mempertikaikan Adat Perpatih, Undang dan Luak. Saya tak pertikai. Itu perlembagaan negeri. Tetapi sementara ini, semua belum teratur dan beres. Kita ada menteri besar, ada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Pakatan (PH) itu berkata sedemikian ketika berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan di Seremban malam tadi.
Pemimpin nombor satu negara itu turut memberikan peringatan kepada semua pihak untuk tidak menjadikan institusi diraja sebagai bahan pertikaian politik sehingga menjejaskan kestabilan negara dan sistem Raja Berperlembagaan.
“Kata sokong sistem beraja tetapi pada masa sama, bekerja untuk menggulingkan raja. Saya tidak setuju. Apa-apa perubahan mesti ikut peraturan perlembagaan.” Tegasnya dalam ucapan tersebut.
Pada 4 Jun lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan krisis ketegangan politik yang berlarutan di negeri itu.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan penetapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai manakala tarikh pengundian untuk Negeri Sembilan pula ditetapkan pada 1 Ogos ini.
Baca juga: PM Anwar tak pernah anggap UMNO sebagai musuh, kerjasama demi kasih kepada rakyat