Minta pelanggan ‘transfer online’, peniaga pasrah tinggal barang jualan tanpa penjaga

Oleh WAN SITI AMINAH

Tindakan seorang peniaga yang sanggup meninggalkan barang jualannya tanpa penjaga telah menjadi perbincangan hangat di media sosial.

Mencuri perhatian, penjaja itu telah menyiapkan beberapa barisan lemang yang sudah siap dimasak untuk dibeli oleh pelanggan.

Langsung tiada penjaga, keuntungan gerai yang menjual juadah hari raya itu hanya bergantung kepada kejujuran pembeli.

Mengagumkan, penjaja itu sungguh pasrah dan hanya meninggalkan sekeping kertas yang tertera nombor akaun bank miliknya.

Hanya menerima bayaran secara pemindahan atas talian (online transfer), peniaga itu menawarkan harga yang sangat berpatutan pada pembeli.

Bayangkan, lemang kecil hanya dijual dengan harga RM10 sebatang, manakala lemang yang bersaiz besar dijual dengan harga RM15 sebatang.

Difahamkan, peniaga tersebut tidak dapat menjual sendiri juadah tersebut kerana ada hal kecemasan yang tidak dapat dielakkan.

“Maaf saya tiada di sini (kecemasan). Untuk pembelian lemang boleh ambil atau pilih sendiri. Bayaran melalui online banking sahaja,” tulis peniaga di kertas.

Pesanan yang ditinggalkan oleh peniaga berkenaan termasuk nombor akaun

Tular di media sosial, kedai itu terletak di tepi jalan pintasan (bypass) menuju ke Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.

Kenyataan serta gambar lemang tersebut dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook dengan harapan dapat membantu peniaga itu.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna berharap agar pembeli bersikap jujur dan membayar lemang walaupun tiada penjaga.

“Harap-harap semua pembeli bersikap jujur. Tolong jangan buat naya dekat orang,” kata seorang pengguna yang prihatin.

“Semoga Allah permudahkan urusan pemilik. Yang membeli, semoga anda jujur.” Kongsi pengguna lain yang tulus mendoakan peniaga.

Baca juga: Demi menggapai impian untuk menjadi anjing, lelaki sanggup belanjakan RM64,000