Lebih 100 motosikal ditahan oleh pihak polis Terengganu melibatkan peserta Himpunan Yamaha RXZ 5.0 yang diadakan di Gong Badak baru-baru ini.
Kenderaan tersebut ditahan atas pelbagai kesalahan trafik antaranya tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran, tidak memasang brek serta modifikasi motosikal.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, semua motosikal itu ditahan menerusi sekatan jalan raya dan rondaan dilakukan berterusan di seluruh negeri.
Maklumnya, operasi yang mendapat kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu dijalankan susulan aduan orang ramai mengenai tindakan segelintir peserta himpunan.
Tidak hanya menunggang motosikal secara berbahaya, ada segelintir peserta himpunan juga telah menimbulkan suasana bingit dengan berlumba, lapor Berita Harian.
Oleh yang demikian, sikap segelintir peserta himpunan ini telah menimbulkan perasaan tidak senang daripada penduduk khususnya yang tinggal berhampiran jalan.
“Kami masih melakukan proses dokumentasi dan setakat ini lebih 100 motosikal ditahan dan saman akan dikeluarkan mengikut kesalahan.
“Operasi akan diteruskan sehingga tamat program dan kita percaya lebih banyak motosikal akan ditahan.
“Bagi motosikal yang disita, pemilik perlu mengubah keadaan struktur kenderaan kepada asal kerana sebahagian besar yang disita diubahsuai,” katanya.
Menurut Mazli, pihak polis menyokong program berkenaan namun peserta seharusnya mematuhi undang-undang jalan raya serta keselesaan rakyat negeri tersebut.
Dalam perkembangan terbaharu, penganjur himpunan tersebut mendedahkan bahawa program yang mula dianjurkan pada tahun 2017 itu mungkin berakhir.
Hal ini kerana, mereka belum membuat keputusan untuk meneruskan program berikutan masalah dihadapi peserta yang menyertai himpunan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak itu.