‘Bukan hina warung kampung!’ – Imran Bard ‘sound’ tajuk media mengelirukan

Oleh MALAYSIADATELINE

Pempengaruh media sosial, Imran Bard tampil meluahkan rasa kecewa terhadap sebuah portal hiburan selepas mendakwa kenyataannya diputar belit sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen.

Menerusi hantaran di Threads, Imran berkata dia tidak pernah memperlekehkan warung kampung seperti yang digambarkan dalam tajuk artikel berkenaan.

Sebaliknya dia hanya berkongsi impian untuk membuka restoran yang lebih besar dan teratur pada masa depan.

“Demi Allah, saya rasa saya takkan pernah boleh lupakan trauma yang mStar bagi dekat saya. Bukan sekali, tapi banyak kali. Tajuk dia memang sangat mengelirukan,” tulisnya di Threads.

Menurut Imran, dia hanya memberitahu bahawa ibunya pernah mempunyai warung kampung tepi jalan dan mereka merancang untuk membuka sebuah restoran yang lebih selesa serta tersusun.

Namun, kenyataan tersebut didakwa telah diputar sehingga seolah-olah dia memandang rendah perniagaan kecil.

“Padahal saya cuma cakap ‘mak saya dulu pernah ada warung kampung tepi jalan dan kami merancang nak buka restoran yang lebih proper’ je.

“Tapi reporter (wartawan) ni putar belit cerita. Saya dah muak dengan semua ni,” tegasnya.

Tambahnya lagi, dia juga berasa kecewa apabila dilabel sombong dan berlagak setiap kali menolak permintaan temu bual daripada pihak media.

“Lepas tu bila saya tak nak ditemu bual, terus cop saya ni kekwat dan berlagak sampai cerita dekat orang industri.

“Mentang-mentang saya bukan orang kaya yang boleh upah peguam, senang-senang je nak fitnah orang?” katanya lagi.

Dalam masa sama, Imran turut menjelaskan angka kos pengajian kulinari hampir RM250,000 yang disebut dalam artikel tersebut hanyalah angka spontan kerana dia diasak dengan pelbagai soalan ketika sesi temu bual.

“Jumlah tu saya sebut saja sebab dia asyik tanya tanpa henti,” ujarnya.

Perkongsian Imran itu menerima pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya bersimpati dan menyifatkan tajuk sensasi sering mengundang salah faham terhadap kenyataan sebenar selebriti.

Baca juga: Ada pihak suka ‘jual’ politik Melayu ditindas setiap kali pilihan raya, TMJ tuju kepada siapa?