Tular video menyayat hati, kanak-kanak setahun merangkak keluar dari lori remuk cari ibu

Oleh KIM SYAZIE

Satu kemalangan menyayat hati di Indonesia menggemparkan negara itu selepas seorang kanak-kanak dilihat merangkak keluar dari sebuah lori yang remuk untuk menyelamatkan dirinya.

Ketika itu dilaporkan dua buah lori di wilayah Lampung, Indonesia terlibat dalam kemalangan demgan salah sebuah kenderaan berat itu remuk di bahagian depan.

Apa yang mengejutkan orang ramai adalah apabila seorang kanak-kanak mangsa kemalangan rupanya terselamat dari kejadian ngeri tersebut.

Berdasarkan video yang tular di media sosial, kanak-kanak bernama Fatih Akbar itu dilihat merangkak keluar dari serpihan kemalangan sebelum berjalan mencari ibunya, Sri Devi.

Sri Devi pula ketika itu sedang berusaha untuk keluar dari pintu tempat duduk kelindan yang turut remuk.

Anaknya yang baru belajar berjalan itu kemudian menuju ke arahnya dengan memanjat beberapa serpihan nahas.

Dua buah lori dilihat terbalik dengan salah satu daripadanya berada dalam keadaan melintang di tengah jalan.

Menurut Sri Devi, dia tidak menyedari bagaimana kemalangan itu berlaku kerana dia dan anaknya itu sedang tidur ketika kejadian.

“Saya juga tidak tahu Fatih tercampak ke luar kenderaan. Saya lihat dia sudah berada di luar (lori),” katanya.

Menurut Sri Devi, Fatih kini berada dalam keadaan baik meskipun mengalami beberapa kecederaan ringan.

Baca juga: Muhammad Zaman Goh meninggal dunia, Malaysia ratapi pemergian pembaca berita