Tindakan seorang wanita yang meminta tips atau panduan daripada pengguna media sosial telah berjaya mengundang perbincangan hangat baru-baru ini.
Mana tidaknya, wanita berkenaan meminta tips daripada orang ramai mengenai cara untuk diterima dan dimasukkan ke dalam hospital dalam tempoh seminggu.
Hal ini kerana, wanita itu langsung tidak mempunyai wang tunai untuk menampung kos kehidupannya selama seminggu sekiranya dia memutuskan untuk lari dari rumah.
Bukan sengaja, wanita malang bergelar isteri itu sebenarnya ingin merehatkan diri sebentar di hospital kerana sudah penat melayani karenah sang suami.
Tidak hanya memerlukan waktu untuk bersendiri, wanita itu juga mahu suaminya merasai sendiri pengalaman menguruskan anak-anak tanpa bantuannya.
“Hai, boleh tak beritahu bagaimana cara nak duduk hospital seminggu? Aku penat dengan perangai suami. Mahu lari rumah, duit tiada.
“Aku mahukan ‘me time’ sendiri, biar dia rasa urus anak-anak. Mental aku rabak layan perangai suami dari anak-anak,” soal wanita tersebut.
Seperti yang dijangka, hantaran itu di media sosial X iaitu Twitter di mana rata-rata pengguna meluahkan kekhuatiran mereka terhadap keadaan mental pengadu.
Tidak boleh dipandang remeh, pengadu dinasihatkan untuk mendapatkan penilaian dan rawatan kesihatan mental daripada pakar-pakar psikiatri di hospital.
Di masa yang sama, ada juga pengguna platform berkenaan yang serius dalam memberikan tips bagaimana cara untuk dirawat di hospital selama seminggu.
“Kakak, awak perlu jumpa pakar psikiatri. Doktor akan memberikan nasihat yang terbaik untuk anda. Jangan tahan, nanti makan diri,” nasihat seorang pengguna.
“Cuba makan telur tembelang. Insya-Allah dimasukkan ke hospital selama dua hingga tiga minggu. Cubalah.” Kata pengguna lain yang serius berkongsi tips.
Semoga wanita itu diberikan kesedaran dan kekuatan bagi mendapatkan rawatan yang diperlukan daripada pakar psikiatri untuk memulihkan kesihatan mentalnya.