Hampir lima tahun melayari bahtera rumah tangga, seorang wanita merasa sangat bersalah kerana belum mampu menghadiahkan seorang cucu kepada mentua.
Pernah bergelar menantu kesayangan, episod gelap dalam hidup wanita itu bagaimanapun bermula apabila kakak ipar dan birasnya hadir mengeruhkan keadaan.
Reda menerima ketentuan Tuhan, hatinya mula terguris apabila kakak ipar dan birasnya itu tidak berhenti menyindir mengenai anak.
Tanpa mereka berdua tahu, sindiran tersebut terpaksa ditelan wanita itu demi menjaga maruah suami yang selama ini tersimpan rapi.
“Mereka berdua sering berkomplot untuk memalukan aku di depan ahli keluarga dengan membangkitkan soal zuriat. Namun rahsia kami tidak lama dapat disimpan.
“Ketika itu, usia perkahwinan kami baru mencecah dua tahun. Sepandai-pandai kami menutup rahsia, akhirnya terbongkar jua,” dedah wanita bernama Suhaila.
Tiba-tiba, selera makan Suhaila mula bertambah selain mengalami mual dan pening akibat pendarahan melampau ketika datang bulan.
Mentuanya yang terlalu menginginkan cucu menyangka Suhaila telah mengeluarkan tanda-tanda berbadan dua walaupun sedang mengalami haid.
Sifat ibu suami yang lebih percayakan bomoh, dukun dan juga bidan berbanding doktor menyebabkan Suhaila dibawa berjumpa dengan pengamal perubatan alternatif itu.
Kesannya, rahsia rumah tangga yang sekian lama disimpan Suhaila akhirnya terbongkar setelah badannya diurut oleh seorang bidan diupah mentua.
“Ya! Aku masih lagi seorang perempuan suci sehingga kini, dan masih belum disentuh suami. Begitulah keadaanku sepanjang lima tahun ini.
“Sudah beribu kali aku mencuba, sehingga suami merajuk, tak tidur sebilik seminggu. Katanya aku seperti memaksa, sedangkan dia belum bersedia,” luah Suhaila.
Selepas rahsia tersebut terbongkar, ibu mertua Suhaila membawa mereka berdua berjumpa bomoh dan dukun di pelbagai negeri untuk mengubati ‘masalah’ itu.
Tiada penghujungnya, suami Suhaila akhirnya menguatkan diri untuk berpindah keluar dari rumah ibu bapanya dan hidup aman berdua tanpa campur tangan orang tua.