Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sedang berhadapan dengan kritikan hebat pada saat ini.
Hal ini berpunca daripada ciapan Zulkifli mengenai anaknya yang melanjutkan pelajaran dengan bantuan biasiswa dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Ciapan tersebut telah mengundang perbincangan hangat mengenai kelayakan anak bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu menggunakan biasiswa daripada pembayar zakat.
Malah, ramai juga yang mempersoalkan tindakan Dr. Zulkifli yang seolah-olah sengaja menayangkan gambarnya bersama anak ketika berada di lapangan terbang.
Menyedari bahawa ciapannya itu telah menimbulkan perspektif negatif dari kalangan pengguna media sosial tempatan, Dr Zulkifli tampil menjelaskan perkara sebenar.
Tidak berniat untuk menunjuk, Dr Zulkifli memaklumkan bahawa hantaran tersebut adalah satu kempen yang diuar-uarkan di sosial media kepada pembayar zakat.
Dr Zuklkifli turut menyangkal dakwaan bahawa dirinya sengaja mengupah jurugambar semata-mata untuk menunjuk kerana telah memiliki pasukan medianya sendiri.
“Saya tidak lantik jurufoto semata-mata untuk tujuan berkenaan. Saya memang ada jurufoto, ada team media yang sentiasa ikut saya ke mana-mana. Sebelum ini telah dijelaskan baik-baik.
“Wajar untuk saya uar-uarkan di media sosial sebagai kempen kepada pembayar zakat, pusat zakat, disamping menolak sangkaan yang mungkin keluar bila saya “diam-diam” dan diketahui kemudian hari.” Ciapnya.
Sekadar berkongsi khabar gembira, anaknya yang dikenali sebagai Abdul Syakur telah berjaya memperoleh 7A+ dan 1A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Jordan, Abdul Syakur berjaya mendapatkan tajaan biasiswa daripada pihak MAIWP.
Jelas Zulkifli, anaknya layak menerima biasiswa itu kerana berada di dalam kategori asnaf (orang Islam yang layak terima zakat) yang dinamakan ‘asnaf fi sabilillah’.
Maksudnya, individu yang berusaha untuk mencapai matlamatnya bagi menegakkan dan mempertahankan agama Allah layak untuk mendapatkan bantuan berkenaan.
Tambah Dr Zulkifli, biasiswa yang diterima Abdul Syakur itu bukanlah biasiswa tajaan biasa sebaliknya ia adalah biasiswa zakat yang tidak menganggu kuota asnaf fakir miskin.
Baca juga: Sampaikan khutbah Jumaat di New York, Anwar sempat mengislamkan saudara baru