Gigih solat di dalam serba kekurangan, lelaki OKU ini berjaya runtun jiwa orang ramai

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, kehadiran seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) di saf belakang dalam satu sesi solat berjemaah telah berjaya menimbulkan keinsafan orang ramai.

Tidak dihalang oleh kekurangan dimilikinya, kesungguhan lelaki ‘istimewa’ berkenaan untuk mengerjakan solat dalam serba kekurangan itu turut menimbulkan kekaguman.

Malah, lelaki berkenaan juga enggan bergantung kepada sebarang bantuan seperti kerusi untuk memudahkan ibadahnya walaupun tidak mampu berdiri dengan tegak.

Pemuda OKU itu juga sangat gigih berusaha sehabis baiknya untuk melengkapkan rukun solat termasuklah rukuk, sujud dan duduk di antara dua sujud meskipun sukar.

Tular di media sosial, kesungguhan lelaki OKU itu ketika mengerjakan solat jemaah sempat dirakam orang awam sebelum dimuat naik di media sosial X, baru-baru ini.

“Apalagi alasan kita untuk terus-terusan meninggalkan solat. Syurgalah tempatnya,” tulis pemilik akaun @bckupacc99 yang memuat naik rakaman tersebut di platform X.

Berhasil meruntun jiwa orang ramai, rata-rata pengguna media sosial merasa kagum dengan semangat serta kegigihan pemuda OKU tersebut untuk menunaikan ibadah.

Rakaman tersebut turut dijadikan pengajaran serta iktibar oleh ramai individu untuk terus memperbaiki diri dari segi ibadah yang menjadi tanggungjawab umat Islam.

“Buat semua (umat islam) yang masih malas-malas solat, lihatlah lelaki ini. Sangat luar biasa,” kata seorang pengguna yang kagum dengan semangat lelaki tersebut.

“Tersentuh terus kita, yang cukup sifat ini pun majoritinya malas nak pergi masjid. Dia macam itu pun masih mampu lagi.” Kongsi pengguna lain yang mengakui insaf menonton video itu.

Lokasi video berkenaan dirakam bagaimanapun tidak dinyatakan dan setakat artikel ini ditulis, perkongsian itu telah berjaya meraih tontonan mencecah 300,000 pengguna.

Baca juga: Rezeki tak salah alamat, peniaga mampu raih RM10,000 sehari jual air balang terpanjang di bazar