Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keutamaan kerajaan buat masa sekarang adalah melaksanakan tugas pentadbiran negara berbanding keperluan untuk membubarkan Parlimen.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menjelaskan bahawa kerajaan perlu menyempurnakan tugas dan merealisasikan agenda yang telah ditetapkan terlebih dahulu sebelum mengadakan pilihan raya.
Beliau berkata demikian selepas ditanya sama ada Parlimen akan dibubarkan agar Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 boleh diadakan dalam tempoh terdekat susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin lalu.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menekankan bahawa keputusan untuk membubarkan DUN adalah hak dan atas pertimbangan kerajaan negeri masing-masing, lapor Berita Harian.
Fokus Kerajaan Persekutuan sebaliknya kekal tertumpu kepada pelaksanaan tanggungjawab serta merealisasikan agenda yang telah ditetapkan sebelum ini demi memastikan kesejahteraan rakyat.
“Ia adalah keputusan mereka. Kami (kerajaan) mempunyai keutamaan kami. Kami fokus pada kerja kami (mentadbir negara). Saya memberi tumpuan kepada tugas saya.
“Masalahnya, ada sesetengah pihak yang tidak memikirkan perkara ini. Kita sepatutnya fokus kepada kerja,” kata Anwar yang juga merupakan Presiden PKR itu memetik laporan Berita Harian.
Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membuat pengumuman pada Isnin lalu berhubung pembuburan DUN negeri itu yang berkuat kuasa semalam untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran DUN untuk mengadakan PRN.
Baca juga: “Makcik siap transfer duit, tak bagi suami tengok telefon” – Ramai risau takut ‘love scam’