Lelaki bingung kedai caj RM6 sebab ‘order’ air kurang gula dan ais, terpaksa bayar hampir RM40 untuk dua gelas jus

Oleh KIM SYAZIE

Seorang lelaki bingung dan terkejut selepas segelas jus epal dan jus karot yang dipesannya di sebuah restoran dikenakan caj sekitar RM37.80.

Menerusi resit dimuat naik pengguna Facebook bernama Chee Chong Chin, dia memberitahu bahawa dia memesan dua gelas jus dengan keduanya diminta untuk dikurangkan gula dan ais.

Namun tidak disangka apabila jus yang berharga RM12.90 segelas itu, dikenakan caj tambahan RM6 kerana memesan minuman tanpa gula dan tanpa ais.

Kedua-dua minuman tersebut dikenakan caj tambahan keseluruhan RM12.

Selain itu, individu itu juga memesan sepinggan Chicken Grilled berharga RM22.90. 

Dengan hanya satu makanan dan dua minuman, dia dikenakan caj keseluruhan RM66.80 berserta cukai perkhidmatan 10 peratus.

Perkara tersebut amat memeranjatkan lelaki itu yang kemudian memuat naik resit tersebut di Facebook dan meminta pandangan rakan-rakannya.

Ini kerana secara logiknya, permintaan pelanggan untuk mengurangkan gula dan ais akan menguntungkan peniaga kerana tiada modal gula dan ais di situ.

Ada yang berpendapat bahawa jumlah keseluruhan untuk satu minuman itu terlalu mahal dan hampir sama dengan harga minuman berjenama yang terkenal di pasaran.

Baca juga: Patutlah puasa pun susah kurus, ini 7 makanan paling menggemukkan di Malaysia – “Nombor 7 paling tak sangka!”